5 maut, puluhan cedera, nahas ngeri 36 kenderaan - Utusan Malaysia

5 maut, puluhan cedera, nahas ngeri 36 kenderaan

LIMA orang maut selepas 36 kenderaan berlanggar di sebuah lebuh raya di Colorado. - Foto KRDO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala 29 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 36 kenderaan di sebuah lebuh raya Colorado,  Amerika Syarikat (AS) pada Selasa. 

Tragedi itu dipercayai berpunca daripada ribut debu tebal yang menyebabkan jarak penglihatan menjadi amat terhad.

Nahas ngeri itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan di lebuh raya rentas negeri 25, selatan Pueblo, melibatkan puluhan kereta persendirian, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan tujuh buah lori treler komersial yang merempuh antara satu sama lain.

Pejabat Koroner Pueblo telah mengenal pasti empat mangsa yang maut di lokasi kejadian.

Empat mangsa itu ialah Karen Marsh, 66, Mary Sue Thayer, 72,  pasangan bapa dan anak iaitu David Kirscht, 90 dan Scott Kirscht, 64.

Mangsa kelima dilaporkan meninggal dunia di hospital pada pagi Rabu, namun identitinya masih belum didedahkan kepada umum.

Pihak peronda lebuh raya negeri  Colorado (CSP) memaklumkan bahawa ribut debu yang dicetuskan oleh angin kencang berkelajuan 112 kilometer sejam (km/j) telah menyebabkan keadaan menjadi sangat berbahaya buat pemandu.

“Debu merentasi keseluruhan lebuh raya (rentas negeri) 25 dengan jarak penglihatan ketika itu adalah hampir sifar,” jelas seorang pegawai CSP, Mejar Brian Lyons.

Selain mangsa yang maut, tujuh orang dilaporkan mengalami kecederaan parah dengan seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal, manakala 21 lagi dirawat kerana kecederaan ringan dan sederhana.

Kemalangan itu turut melibatkan sebuah lori pikap yang sedang menunda treler berisi 30 ekor biri-biri dan seekor kambing. 

Empat ekor biri-biri dilaporkan mati di tempat kejadian, manakala haiwan yang terselamat dilihat berlarian di lebuh raya dalam keadaan keliru sebelum diselamatkan oleh pihak kebajikan haiwan.

Siasatan mengenai punca kemalangan masih dijalankan dan punca kematian mangsa masih belum didedahkan kepada umum.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan Colorado, Amber Shipley memberi amaran kepada pemandu bahawa ribut debu perlu dipandang serius sama seperti ribut salji.  – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN