Lelaki miliki 3 ijazah jadi pencuci pinggan - Utusan Malaysia

Lelaki miliki 3 ijazah jadi pencuci pinggan

GAMBAR fail beberapa orang menjamu selera di luar sebuah restoran di Beijing. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang lelaki China yang memiliki tiga ijazah sarjana meninggalkan kehidupan mewahnya di Shanghai semata-mata untuk bekerja sebagai pencuci pinggan.

Zhao Dian, meninggalkan gaya hidup elit untuk tinggal di sebuah pondok usang dan hanya membelanjakan 100 yuan (RM56.85) sebulan.

Menurut akhbar South China Morning Post, selama bertahun-tahun, penduduk di kaki Gunung Cang di bandar Dali, wilayah Yunnan, sudah biasa melihat Zhao membawa beg galas seberat 15 kilogram (kg) dan memakai kasut lusuh yang dibeli di pasar dengan harga 80 yuan (RM45).

Selain tinggal di khemah usang dan bocor, Zhou hanya makan dua kali sehari, termasuk satu hidangan vegetarian percuma daripada sebuah kuil.

Dilahirkan dalam keluarga kaya, bapa Zhou merupakan seorang ahli perniagaan bahan binaan, dengan keluarganya memiliki vila mewah di Shanghai yang dilengkapi lif peribadi.

Dia juga memiliki tiga ijazah sarjana dari universiti di China, Australia dan Perancis. Zhou pernah menjalani latihan industri di beberapa syarikat kewangan di Paris, Perancis.

Namun, di sebalik kejayaan akademik itu, dia berkata, tekanan berterusan daripada ibu bapa dan zaman kanak-kanak yang sukar membuatkan pendidikannya terasa seperti ‘dikongkong’.

Semasa bekerja di Paris, Zhao mengalami kemurungan sebelum memohon pekerjaan mencuci pinggan di sebuah restoran Cina, yang akhirnya mengubah kehidupannya itu.

Katanya, walaupun pekerjaan mencuci pinggan meletihkan, ia memberinya ketenangan mental.

Zhao percaya meninggalkan cara hidup biasa dan memilih gaya hidup sederhana dengan kos rendah membuatkan dia lebih bahagia.

Lelaki itu turut mengelak memegang jumlah wang yang besar dan selepas mengumpul beberapa ribu yuan, dia mendermakannya kepada gelandangan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN