China kembali ceroboh ruang udara Taiwan - Utusan Malaysia

China kembali ceroboh ruang udara Taiwan

SEBUAH jet pejuang Mirage 2000 tentera udara Taiwan berlepas di Pangkalan Udara Hsinchu di Hsinchu pada 29 Disember 2025.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China menyambung semula penerbangan tentera berhampiran ruang udara Taiwan selepas ‘rehat’ selama seminggu tanpa sebab yang dijelaskan.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan memaklumkan, sekurang-kurangnya dua pesawat perang China memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan pada awal pagi Sabtu.

Sejak beberapa bulan lalu, China melancarkan ratusan penerbangan di sekitar pulau itu sebagai sebahagian daripada taktik yang dilihat bertujuan menekan Taiwan.

Namun,  jumlahnya menurun secara tiba-tiba kepada berpuluh-puluh pesawat dalam tempoh sebulan terakhir.

ADIZ merupakan ruang sensitif di sekitar pulau itu yang melangkaui ruang udara China dan Beijing kerap menghantar pesawat tenteranya ke kawasan berkenaan.

Januari tahun lalu, tentera China melakukan 248 penerbangan, diikuti 362 penerbangan pada Februari. 

Jumlah itu bagaimanapun menurun dengan ketara pada tahun ini, dengan 166 penerbangan pada Januari dan 161 pada bulan lalu.

Penerbangan itu terhenti secara tiba-tiba pada 27 Februari, menurut pegawai Taiwan yang memantau aktiviti udara dan laut China di sekitar pulau berkenaan. 

Jumlah itu merupakan yang terendah sejak Presiden Taiwan, William Lai Ching-te, mengambil alih jawatan pada Mei 2024.

“Kementerian Pertahanan Negara Taiwan melaporkan tiada pencerobohan PLA selama 13 daripada 28 hari pada Februari, walaupun pencerobohan sedemikian berlaku hampir setiap hari dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, penurunan luar biasa dalam pencerobohan ADIZ sejak awal tahun 2026 masih konsisten dengan penurunan bermusim yang lazim berlaku setiap musim sejuk sejak 2023,” menurut Institut Kajian Perang yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat.

China menuntut kedaulatan ke atas Taiwan dan berusaha untuk ‘menyatukan semula’ pulau itu dengan tanah besar, termasuk menggunakan kekerasan jika perlu.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN