Keluarga selongkar sampah selepas terbuang emas hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Keluarga selongkar sampah selepas terbuang emas hampir RM1 juta

SEBUAH keluarga terpaksa selongkar sampah untuk mencari jongkong emas dan barang kemas. - Foto Sohu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah keluarga di wilayah Jiangxi, China, terpaksa mengharungi malam yang panjang dengan menyelongkar kira-kira 10 tan sisa sampah termampat demi mencari semula beg berisi emas seberat lebih 1 kilogram yang tidak sengaja dibuang ke dalam tong sampah.

Kejadian bermula apabila seorang wanita dari daerah Hengfeng membawa pulang jongkong emas dan barang kemas bernilai 1.5 juta yuan (RM855,593) pada 8 Mac lalu dengan niat untuk menjualnya. 

Bagaimanapun, kakak wanita tersebut yang sedang mengemas rumah telah membuang beg berisi logam berharga itu ke dalam tong sampah di luar rumah tanpa menyedari kandungannya.

Wanita itu hanya menyedari kehilangan tersebut sekitar jam 11 pagi waktu tempatan sebelum segera menghubungi pihak polis. 

Melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), polis mengesahkan bahawa sebuah lori sampah telah pun mengutip sisa tersebut dan membawanya ke tapak pemprosesan sisa di daerah jiran, Yiyang.

Keluarga tersebut bergegas ke pusat pemprosesan dan berjaya memintas tiga buah lori yang hampir memasuki ruang pembakaran. 

Mereka mendapat bantuan polis dan lori yang disyaki membawa beg emas itu diarahkan untuk membuang muatannya di satu kawasan lapang bagi membolehkan proses pencarian dilakukan.

Kira-kira lapan ahli keluarga tersebut yang dilengkapi dengan peralatan perlindungan dan lampu kepala, mula menyelongkar timbunan 10 tan sampah itu bermula jam 7 malam waktu tempatan. 

Selepas bekerja sepanjang malam dan hanya berehat seketika sebelum subuh, mereka meneruskan pencarian keesokan paginya. 

Selepas menyaring hampir separuh daripada timbunan sampah tersebut, wanita berkenaan mula mengenali sisa buangan dari rumahnya sendiri seperti kulit oren sebelum beg berisi emas itu ditemukan dalam keadaan masih sempurna tidak lama kemudian.

Wanita tersebut memaklumkan kepada media tempatan bahawa dia telah menjual sebahagian daripada emas itu kerana tidak lagi berani menyimpannya di rumah. 

Dia juga merancang untuk menyerahkan sepanduk penghargaan kepada pihak polis dan pekerja pembersihan yang telah banyak membantu dalam misi pencarian tersebut. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×