SYDNEY: Seorang lelaki Sydney yang cuba menghantar beberapa reptilia Australia keluar dari negara itu menggunakan paket popcorn dan tin biskut, dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun, menurut pihak berkuasa.
Menurut pegawai persekutuan alam sekitar, tempoh lapan tahun yang dijatuhkan pada Jumaat lalu itu merupakan rekod bagi kes penyeludupan hidupan liar.
Mahkamah daerah di Sydney menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berusia 61 tahun, Neil Simpson, dengan tempoh tanpa parol selama lima tahun empat bulan.
Pasukan penyiasat merampas 101 reptilia Australia daripada bungkusan disita, yang dialamatkan ke Hong Kong, Korea Selatan, Sri Lanka dan Romania, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Haiwan berkenaan, termasuk beberapa ekor cicak jenis shingleback, cicak lidah biru barat, cicak naga serta spesies berduri pygmy selatan yang dihantar dalam 15 pakej antara 2018 dan 2023.
“Cicak-cicak berkenaan disembunyikan dalam sebuah beg sebelum diselitkan pada beberapa paket popcorn, tin biskut dan beg tangan wanita dan kemudian diletakkan di dalam kotak kadbod,” menurut kenyataan itu.
Penyeludup itu juga cuba meminta orang lain menghantar haiwan berkenaan bagi pihaknya, tetapi dikenal pasti oleh penyiasat kerajaan dan polis New South Wales.
Tiga lagi individu disabit kesalahan kerana terlibat dalam jenayah sama.
Jabatan Alam Sekitar kerajaan New South Wales menyatakan pemerdagangan hidupan liar secara haram merosakkan usaha pemuliharaan dan mengurangkan biodiversiti unik negeri itu dan seluruh Australia.-AFP









