GAZA: Kurang 100 pesakit Palestin dipindahkan sejak pembukaan semula pintu sempadan Rafah, menurut angka terkini yang dikeluarkan seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pegawai itu menyambut baik perkembangan tersebut, tetapi memberi amaran keperluan perubatan di Gaza masih terlalu tinggi.
Israel membuka semula pintu sempadan Rafah pada 2 Februari lalu tetapi dalam keadaan yang sangat ‘terbatas’, selepas menguasainya sejak Mei 2024.
Dalam taklimat media di Geneva, Switzerland, pegawai berkenaan, Teresa Zakaria berkata, pembukaan semula itu membolehkan hanya sekitar 90 pesakit dipindahkan.
“Ini bertambah kepada kira-kira 11,000 orang yang sudah dipindahkan keluar dari Gaza untuk dihantar ke pelbagai negara bagi menerima rawatan perubatan yang sangat penting dan kritikal,” katanya.
Teresa memberitahu agensi berita Anadolu, WHO menyasarkan lebih banyak pemindahan perubatan harian dijalankan dalam beberapa hari akan datang, menekankan lebih 18,000 pesakit masih menunggu untuk dipindahkan bagi mendapatkan rawatan yang sangat diperlukan.
Katanya, ramai daripada pesakit di Gaza meninggal dunia semasa menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza.
Beliau turut berharap pembukaan semula pintu sempadan itu juga akan membolehkan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan masuk ke Gaza. Teresa menyatakan tahap bantuan kini terlalu kecil berbanding skala keperluan dan keadaan cuaca yang menjejaskan penduduk.
“Kita semua sudah melihat sendiri keadaan hidup rakyat di dalam Gaza yang masih amat teruk. Risiko kesihatan juga masih meluas.
“Apa yang ada pada masa ini kebanyakannya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan di sana,” katanya. – AGENSI










