BAITULMAQDIS/WASHINGTON: Kabinet Israel membatalkan larangan penjualan hartanah kepada orang Yahudi di Tebing Barat yang merupakan wilayah Palestin dan dikuatkuasakan sejak era Jordan sebelum ini.
Keputusan membatalkan larangan itu dianggap sebagai satu langkah yang menurut kerajaan Israel akan membuka jalan bagi pembelian tanah di wilayah tersebut.
Langkah baharu Israel di Tebing Barat yang didudukinya itu akan menamatkan Perjanjian Oslo, kata penganalisis, sehingga menghancurkan harapan untuk penubuhan sebuah negara Palestin.
Diumumkan pada Ahad, lalu, perubahan besar-besaran ini akan meluaskan kawasan sivil Israel di Kawasan A dan B yang menempatkan semua bandar serta pekan utama rakyat Palestin di mana sejak Perjanjian Oslo 1983, ia secara rasmi berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Langkah itu juga memudahkan penduduk Yahudi Israel memiliki tanah secara persendirian di Tebing Barat yang berpotensi mempercepatkan perluasan penempatan haram.
Ini dilakukan melalui pemansuhan undang-undang yang melarang penjualan tanah milik rakyat Palestin kepada penduduk Yahudi Israel, pelonggaran peraturan jual beli tanah dan pembatalan kerahsiaan rekod pendaftaran tanah. Ia dianggap sebagai satu taktik yang sering digunakan oleh peneroka haram Yahudi.
Undang-undang itu merupakan satu siri keputusan baharu mengenai Tebing Barat yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich dan Menteri Pertahanan, Israel Katz.
Kedua-dua menteri itu juga mengumumkan bahawa Kabinet meluluskan pembukaan rekod tanah Tebing Barat yang sebelum ini dirahsiakan dan boleh didedahkan pada orang awam selepas beberapa dekad disekat.
Kabinet Israel juga memutuskan untuk memindahkan kuasa permit pembinaan di kawasan penempatan Hebron. Pemindahan kuasa itu turut melibatkan Masjid Ibrahimi dan tapak-tapak agama lain, daripada pihak berkuasa tempatan Hebron kepada Pentadbiran Awam Tentera Israel.
Langkah itu membolehkan perancangan dilakukan tanpa kelulusan Palestin dan memberikan Pentadbiran Awam Tentera Israel kuasa penuh seperti pihak berkuasa tempatan.
Tidak jelas bila peraturan baharu itu yang diluluskan oleh Kabinet keselamatan Israel akan dikuatkuasakan, tetapi ia tidak memerlukan kelulusan lanjut.
Lebih 500,000 rakyat Israel tinggal di penempatan dan pos-pos di Tebing Barat, yang diiktiraf sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa manakala kira-kira tiga juta rakyat Palestin juga tinggal di situ.
Lapan negara majoriti penduduk Muslim iaitu Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu mengecam perubahan tersebut, dengan menyatakan bahawa ia bertujuan untuk memaksakan kedaulatan Israel yang tidak sah di Tebing Barat.
Seorang pakar sains politik Palestin, Ali Jarbawi memberi amaran bahawa inisiatif-inisiatif itu akan menyebabkan rakyat Palestin yang tinggal berhampiran tapak arkeologi, tapak pelupusan sampah atau mata air dipindahkan.
Jarbawi menyatakan bahawa Israel mahu menolak rakyat Palestin ke kawasan tanah kecil, pada asasnya ke bandar-bandar utama mereka, dalam bentuk wilayah yang terasing.
Pengarah bersama projek Peace Now, Yonatan Mizrachi berkata, langkah-langkah itu akan terus melemahkan PA yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Oslo sebagai badan pentadbiran sementara ketika menunggu penubuhan sebuah negara Palestin sambil menuduh Israel memajukan proses perluasan hak milik tanah.
Langkah-langkah itu memperluaskan kawalan Israel ke atas dua tapak keagamaan utama di selatan Tebing Barat iaitu makam isteri Nabi Yaakub berhampiran Baitulaham dan ‘Cave of the Patriarchs’ di Hebron, yang dikunjungi oleh penganut Yahudi, Kristian dan Islam.
Di Hebron, bandar Palestin terbesar di Tebing Barat, peraturan kecil perbandaran akan dipinda untuk memindahkan kuasa kelulusan permit pembinaan di kawasan sekitar gua tersebut dikenali oleh umat Islam sebagai Masjid Ibrahimi kepada COGAT, badan ketenteraan Israel yang menyelia urusan awam di wilayah Palestin.
Timbalan Datuk Bandar Hebron, Asma al-Sharbati menyifatkan langkah itu sebagai trend Israel yang paling berbahaya ketika ini sambil menambah bahawa peluasan penempatan haram Yahudi sedang berlaku pada kadar yang sangat pantas.
Di bawah kerajaan Israel ketika ini, pengembangan penempatan haram Yahudi telah mencapai tahap tertinggi sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula menjejaki data tersebut pada 2017.
Pada 2025 sahaja, hampir 47,390 unit kediaman haram Israel telah dilaksanakan, diluluskan atau ditenderkan, meningkat daripada kira-kira 26,170 unit pada 2024.
Sebagai perbandingan, purata 12,815 unit kediaman ditambah setiap tahun antara 2017 dan 2022.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, telah menggambarkan pengembangan itu sebagai ‘pembangunan tidak berhenti-henti’.
Seorang pegawai Rumah Putih telah menegaskan semula pendirian Presiden Donald Trump yang menentang aneksasi Tebing Barat oleh Israel, selepas rancangan rejim Zionis diumumkan yang akan membuka jalan bagi penubuhan lebih banyak penempatan haram di wilayah Palestin itu.
Sebelum ini, United Kingdom (UK) menyeru Israel untuk membatalkan keputusannya, dengan berkata: “UK mengecam sekeras-kerasnya keputusan Kabinet keselamatan Israel untuk mengembangkan kawalan Israel ke atas Tebing Barat.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadualkan bertemu dengan Trump di White House, Washington hari ini. – AGENSI/AFP










