BAITULMUQADDIS: Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memberi amaran kerja-kerja pembersihan runtuhan di Gaza pada kadar semasa mungkin mengambil masa tujuh tahun, ketika sebahagian besar penduduk terus hidup dalam keadaan yang sangat berbahaya.
Ketua UNDP, Alexander De Croo menyifatkan situasi kemanusiaan di Gaza adalah yang paling buruk pernah disaksikan sepanjang penglibatannya dalam kerja-kerja pembangunan.
“Ini adalah keadaan hidup paling teruk yang pernah saya lihat, keadaan yang amat menyakitkan untuk didiami. (Sebanyak) 90 peratus penduduk Gaza ketika ini tinggal di tengah-tengah runtuhan yang sangat berbahaya,” katanya dalam taklimat maya dari Baitulmuqaddis susulan lawatan terbaharunya ke Gaza.
Beliau berkata, usaha pemulihan UNDP tertumpu kepada tiga bidang utama, khususnya pembersihan runtuhan dan sisa pepejal.
“Setakat ini, kami hanya membersihkan kira-kira 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan runtuhan. Pada kadar semasa, ia akan mengambil masa tujuh tahun untuk membersihkan semuanya,” kata De Croo.
Beliau turut menekankan keperluan untuk meningkatkan kuasa dan kapasiti bagi mempercepatkan kerja pembersihan serta kitar semula sisa runtuhan.
“Perumahan sementara adalah keutamaan kedua, kerana 90 peratus penduduk tinggal di tempat yang tidak boleh dipanggil khemah. Maksud saya, ini adalah khemah yang sangat asas,” katanya.
Pihak UNDP setakat ini membina 500 unit rumah pemulihan dan menyediakan 4,000 lagi unit, namun jumlah itu masih jauh daripada mencukupi berbanding keperluan sebenar penduduk.
“Antara 200,000 hingga 300,000 unit diperlukan untuk memberikan orang ramai kehidupan yang lebih baik, bukan kehidupan yang sepatutnya mereka miliki, tetapi lebih baik daripada apa yang tersedia buat masa ini,” katanya.
Menurut De Croo, bidang ketiga yang diberi tumpuan adalah menghidupkan semula sektor swasta Gaza yang sebahagian besarnya terhenti.
Program pemulihan termasuk pelaburan terhad serta skim tunai untuk kerja, katanya.
Bagi memperluas bantuan, beliau berkata, UNDP mempunyai satu permintaan utama kepada pihak berkuasa Israel, iaitu akses lebih luas untuk membawa masuk bahan binaan, unit perumahan dan sokongan kepada perniagaan swasta.
De Croo berkata, kebimbangan keselamatan yang didakwa Israel tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat akses lebih besar kepada UNDP dan agensi PBB serta pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa lain.- ANADOLU










