TEBING BARAT: Tentera Israel menangkap 14 penduduk Palestin pada Jumaat dalam siri serbuan dan pemeriksaan rumah di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki pada hari ketiga Ramadan.
Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin, penahanan tersebut tertumpu di wilayah utara iaitu Jenin, Tulkarem, dan Salfit.
Seramai 13 penduduk ditahan selepas kediaman mereka digeledah, manakala seorang pemuda dilaporkan menyerah diri akibat tekanan pihak berkuasa Israel.
Pihak pejabat tersebut menegaskan kempen penahanan harian terus meningkat di bandar-bandar seluruh Tebing Barat sepanjang bulan Ramadan ini, menyasarkan golongan muda dan pelajar.
Ketua Pengarah Persatuan Tahanan Palestin, Amjad al-Najjar memaklumkan kepada Anadolu, kekerapan penahanan oleh pihak penjajah Israel meningkat ketara sejak permulaan Ramadan.
Berdasarkan data Palestin, lebih 9,300 tahanan Palestin kini berada di penjara Israel, termasuk 350 kanak-kanak dan 56 wanita. Mereka dilaporkan berdepan dengan penyiksaan, kebuluran, dan pengabaian perubatan yang telah meragut nyawa puluhan tahanan.
Sejak perang di Gaza bermula pada 8 Oktober 2023, Israel memperhebatkan operasi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur menerusi tentera serta pendatang haram.
Tindakan itu merangkumi pembunuhan, penahanan, perobohan kediaman, pengusiran penduduk dan peluasan penempatan haram.
Pihak Palestin memberi amaran bahawa langkah-langkah ini adalah persediaan bagi Israel untuk rampasan Tebing Barat secara rasmi.
Tindakan tersebut dilihat akan melumpuhkan peluang penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka seperti yang digariskan dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- ANADOLU










