Tibi: Premis pelancongan di Melaka diarah tingkat kebersihan

Tibi: Premis pelancongan di Melaka diarah tingkat kebersihan

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada veteran tentera sambil diiringi Nasrul Ahmad (kiri) di Masjid As-Saadah, Ujong Pasir, Melaka semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua premis pelancongan antaranya hotel, muzium, pusat beli-belah dan lokasi tarikan di negeri diarah memberi penekanan kepada amalan kebersihan, sebagai persediaan menghadapi peningkatan kes tuberkulosis (tibi) di peringkat nasional.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, situasi di Melaka masih terkawal, tidak seperti beberapa negeri lain.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan berjaga-jaga dan proaktif bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus beroperasi dalam keadaan selamat.

“Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan mengenai berlakunya kes tibi daripada pemain industri pelancongan sepanjang cuti Tahun Baharu Cina dan musim cuti persekolahan.

“Tiada pembatalan tempahan besar-besaran direkodkan dan maklum balas daripada pengusaha hotel serta operator pelancongan masih positif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Gema Ramadan di Masjid As-Saadah, Ujong Pasir di sini, semalam.

Nasrul berkata, pendekatan BPP adalah memastikan keseimbangan antara aspek kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi pelancongan.

“Alhamdulillah, industri pelancongan Melaka masih stabil. Kita tidak menerima sebarang aduan serius atau penurunan mendadak kehadiran pelancong. Namun, kita terus bersiap siaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×