AS rancang buka semula kedutaan di Syria

AS rancang buka semula kedutaan di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk meneruskan rancangan membuka semula kedutaannya di Damsyik, Syria, yang ditutup sejak 2012 akibat perang saudara di negara itu.

Satu notis yang dihantar kepada jawatankuasa Kongres awal bulan ini, yang diperolehi The Associated Press, memaklumkan kepada penggubal undang-undang mengenai hasrat Jabatan Negara untuk melaksanakan pendekatan secara berfasa bagi menyambung semula operasi kedutaan di Syria.

Notis bertarikh 10 Februari itu menyatakan perbelanjaan bagi perancangan tersebut akan bermula dalam tempoh 15 hari, atau minggu depan.

Bagaimanapun, tiada garis masa khusus diberikan mengenai bila proses itu akan selesai atau bila kakitangan AS akan kembali bertugas secara sepenuh masa di Damsyik.

Pentadbiran Trump mempertimbangkan pembukaan semula kedutaan tersebut sejak tahun lalu, selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024. Langkah itu menjadi keutamaan bagi Duta AS ke Turkiye merangkap Utusan Khas untuk Syria, Tom Barrack.

Barrack merupakan individu yang mendesak usaha pemulihan hubungan diplomatik dengan kepimpinan baharu Syria di bawah pemimpin kumpulan pejuang, Ahmed Al-Sharaa.

Beliau juga berjaya menyokong usaha penarikan balik sekatan AS serta integrasi semula Syria ke dalam komuniti serantau dan antarabangsa.

Presiden AS, Donald Trump memberitahu wartawan pada Jumaat Al-Sharaa sedang menjalankan tugas yang luar biasa sebagai presiden.

“Dia seorang yang tegas. Dia bukan budak koir. Budak koir tidak akan mampu melakukannya. Tetapi Syria kini sedang bersatu semula,” kata Trump.

Mei lalu, Barrack telah melawat Damsyik dan mengibarkan bendera AS di perkarangan kedutaan tersebut, meskipun premis itu masih belum dibuka secara rasmi pada waktu itu.

Pada hari yang sama notis Kongres dihantar, Barrack memuji keputusan Syria untuk menyertai gabungan memerangi kumpulan militan Daesh, walaupun tentera AS telah berundur dari pangkalan kecil tetapi penting di tenggara negara itu. Selain itu, masih terdapat isu besar yang belum selesai antara kerajaan dan minoriti Kurdish.

“Penyelesaian serantau, tanggungjawab bersama. Penyertaan Syria dalam mesyuarat Gabungan Anti-Daesh di Riyadh menandakan lembaran baharu dalam keselamatan kolektif,” kata Barrack.

Perincian mengenai rancangan pembukaan semula kedutaan tersebut diklasifikasikan sebagai sulit dan Jabatan Negara enggan mengulas lanjut selain mengesahkan bahawa notis kepada Kongres telah dihantar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN