NEW YORK: Bintang antarabangsa Cardi B meluahkan rasa kagum kepada penganut agama Islam yang menahan lapar dahaga di bulan Ramadan sebagai tanda ketaatan kepada Pencipta.
Menurut penyanyi rap sensasi itu, perkara itu telah menyedarkannya tentang konsep kepercayaan kepada Tuhan yang menjadi ajaran agama ini.
“Saya kagum dengan orang Islam. Mereka sanggup menahan lapar dan dahaga dan berkorban apa sahaja demi ketaatan kepada Tuhan.
“Saya suka kepada orang yang setia kepada penciptanya,” katanya.
Cardi berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan mengenai ibadah puasa yang diajukan salah seorang pengikutnya ketika penyanyi itu membuat siaran langsung di TikTok.
Pemilik nama sebenar Belcalis Marlenis Almanzar itu dalam masa sama mengakui tidak mampu berpuasa kerana perbuatan itu hanya akan membuatkan dirinya hilang kewarasan.
“Berpuasa bukan untuk saya kerana saya hanya mampu bertahan tanpa makan dan minum selama tiga jam.
“Berlapar lebih daripada tempoh itu selepas bangun pagi membuatkan kepala saya sakit, selain menghadirkan bisikan-bisikan halus ke telinga saya.
“Dan apabila lapar, emosi saya terganggu, membuatkan saya hilang pertimbangkan dan mudah memaki hamun orang lain.
“Mungkin Tuhan tidak menjadikan saya seorang Muslim kerana saya tidak mampu berpuasa,” katanya. – UTUSAN











