Iran umum latihan ketenteraan berhampiran kapal perang AS

Iran umum latihan ketenteraan berhampiran kapal perang AS

ABBAS ARAGHCHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mengumumkan latihan ketenteraan laut secara tembakan langsung selama dua hari di Selat Hormuz, yang dijadual bermula Ahad, susulan penempatan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dan aset ketenteraan lain milik Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat.

Markas Pusat Tentera AS (CENTCOM) mengeluarkan amaran kepada tentera Iran, menegaskan mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pergerakan berbahaya, termasuk penerbangan di atas kapal perang AS atau bot laju Iran di laluan yang berisiko bertembung dengan kapal-kapal negara itu.

Semalam, Iran menyatakan kesediaan untuk menyambung rundingan dengan AS jika perbincangan dilakukan secara adil dan saksama tanpa menyentuh tentang keupayaan pertahanan serta program peluru berpandu negara itu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam sidang media di Istanbul menegaskan Teheran tidak akan dipaksa berunding mengenai kemampuan pertahanannya program keselamatan yang jelas tidak boleh dikompromi oleh mana‑mana negara.

“Kami dalam apa keadaan sekalipun tidak sanggup menerima arahan atau paksaan. Rundingan sedemikian tidak boleh dijalankan di bawah ancaman Walau bagaimanapun, Iran bersedia menyertai sebarang proses diplomatik yang bermakna, logik dan adil.

“Kami bagaimanapun menolak berunding mengenai keupayaan pertahanan Iran termasuk program peluru berpandu. Saya percaya tiada negara sanggup berkompromi terhadap keselamatan atau pertahanan negaranya sendiri,” tegasnya.

Belum jelas bila atau dalam format apa rundingan itu akan diadakan. Abbas berkata, tiada sebarang pertemuan dengan AS dijadualkan. 

Ketegangan antara Teheran dan Washington meningkat selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam campur tangan berikutan tindakan keras terhadap tunjuk perasaan baru-baru ini dan menghantar armada tentera laut ke Asia Barat. 

Bagaimanapun, Trump pada lewat Khamis menyatakan harapan untuk mengelakkan tindakan ketenteraan dan menimbulkan kemungkinan rundingan dengan Iran, sambil menekan Teheran untuk mencapai perjanjian mengenai program nuklearnya, yang didakwa Barat bertujuan menghasilkan bom atom.

Trump berkata beliau sedang berhubung dengan pemimpin Iran dan merancang perbincangan lanjut.

“Saya sudah berbincang dan merancang untuk terus berbincang. Kami ada banyak kapal besar dan berkuasa kini menuju ke Iran tetapi akan lebih baik jika kita tidak perlu menggunakannya.

“Saya beritahu mereka dua perkara. Pertama, tiada nuklear. Kedua, hentikan membunuh penunjuk perasaan,” katanya.

Menurut laporan Axios, pegawai AS menyatakan sebarang perjanjian dengan Teheran perlu merangkumi had terhadap simpanan peluru berpandu jarak jauh Iran, pengeluaran uranium yang diperkaya dari negara itu dan larangan pengayaan bebas. 

Pengarah Pusat Kajian Iran yang berpangkalan di Ankara, Serhan Afacan memberitahu AFP, menggabungkan isu nuklear dengan tuntutan lain kemungkinan mustahil kerana program peluru berpandu balistik adalah garisan merah yang menjadi teras pertahanan Iran.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×