Feri bawa pelancong rempuh dua sampan - Utusan Malaysia

Feri bawa pelancong rempuh dua sampan

SEBUAH feri merempuh sampan di terusan Venice, Ahad lalu. - Foto X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Sebuah feri  yang mengalami kerosakan mekanikal merempuh dua buah sampan menyebabkan sembilan orang termasuk pelancong jatuh ke dalam terusan air di Venice, Itali, Ahad lalu.

Kejadian dirakamkan menerusi video yang memaparkan feri syarikat Alilaguna tersebut tiba-tiba bergerak laju ke arah dua buah sampan itu sebelum melanggarnya menyebabkan penumpang dan pendayung tercampak ke dalam terusan.

Menurut media tempatan, feri tersebut mengalami kerosakan teknikal sebelum ia tiba ke Jambatan Rialto yang terkenal dalam kalangan pelancong. 

Feri yang hilang kawalan itu melepasi gerbang Rialto sebelum bergesel dengan jambatan tersebut dan merempuh jeti Fondaco dei Tedeschi ketika cuba mengelak melanggar dua bot polis.

Situasi menjadi semakin kecoh apabila feri itu merempuh dua buah sampan yang membawa pelancong, mengakibatkan sembilan penumpang dan pendayung terjatuh ke dalam air akibat impak rempuhan.

Anggota-anggota penyelamat kemudian bergegas menarik sembilan orang mangsa dari air. Laporan menyatakan mangsa dirawat kerana mengalami kecederaan lebam dan tanda-tanda awal hipotermia akibat suhu air yang sejuk.

Presiden Alilaguna, Fabio Sacco mengesahkan bahawa tiada kecederaan serius dilaporkan.

“Pekerja-pekerja kami telah dibawa ke hospital untuk (menjalani) ujian alkohol dan dadah,” katanya.

Unit navigasi polis tempatan kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian. Feri telah ditunda ke limbungan kapal untuk pemeriksaan teknikal manakala dua buah sampan yang terlibat dalam rempuhan tersebut mengalami kerosakan teruk.

Insiden itu tular di media sosial selepas saksi kejadian merakamkan detik-detik cemas tersebut dan kedengaran jeritan orang ramai yang berada di lokasi kejadian. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN