Polis beri amaran reptilia ganas dijadikan 'senjata' - Utusan Malaysia

Polis beri amaran reptilia ganas dijadikan ‘senjata’

GAMBAR fail seekor ular boa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Spesies ular anaconda, boa constrictor dan seekor buaya caiman ditemukan disembunyikan di sebalik dinding palsu dalam satu serbuan di selatan Itali pada Khamis, sehingga mencetuskan amaran bahawa reptilia berbahaya kini digunakan oleh penjenayah tempatan untuk mengugut mangsa.

Pihak polis di Bari yang menjalankan serbuan di sebuah blok pangsapuri menemui haiwan eksotik dan berbahaya di dalam sebuah bilik rahsia di tingkat bawah tanah yang telah diubah suai menjadi kandang reptilia haram.

Antara yang ditemui termasuk dua ekor anaconda hijau, masing-masing sepanjang kira-kira 5 meter (m) dengan berat sekitar 60 kilogram (kg), dan seekor buaya spectacled caiman sepanjang lebih 1.5m.

“Buaya spectacled caiman tersebut merupakan pemangsa liar dengan rahang yang sangat kuat dan berpotensi bertindak agresif,” menurut kenyataan polis, sambil menegaskan haiwan itu menjadi ancaman nyata kepada keselamatan awam.

Turut ditemui adalah seekor biawak air Asia bersaiz besar yang mempunyai kuku tajam serta gigitan yang berpotensi membahayakan.

Selain itu, polis turut merampas seekor anaconda kuning, seekor anaconda Bolivia, empat ekor ular sawa Burma sepanjang kira-kira 3m setiap satu. Empat ekor ular boa constrictor turut dirampas.

Kesemua reptilia tersebut dipercayai milik seorang lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, namun suspek kini dilaporkan gagal dikesan.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa pemilikan haiwan eksotik dan berbahaya dalam konteks jenayah merupakan fenomena yang amat membimbangkan. 

“Dalam beberapa kes, haiwan ini digunakan sebagai alat intimidasi atau sebagai simbol menunjukkan kuasa jenayah di kawasan berkenaan,” tambah kenyataan itu lagi. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN