BANGKOK: Seorang kanak-kanak lelaki di Wilayah Prachin Buri ditemukan dengan kesan lebam teruk di seluruh badan pada Jumaat lalu dipercayai akibat dipukul oleh neneknya selepas pulang lewat dari sekolah.
Insiden itu terbongkar selepas seorang guru kelas di daerah Na Di menyedari kecederaan yang dialami mangsa yang dikenali sebagai Pae, 10, ketika sesi persekolahan berlangsung.
Guru tersebut segera menghubungi pihak berkuasa tempatan selepas melihat tanda-tanda penderaan fizikal pada tubuh kanak-kanak malang itu.
Pae yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapa berpisah, menceritakan bahawa dia dipukul berkali-kali menggunakan batang buluh oleh wanita itu dan bapa saudaranya.
Kecederaan tersebut meninggalkan kesan lebam pada pergelangan tangan kanan dan bahagian belakang paha kanannya.
Kanak-kanak itu mendakwa sering dihukum sedemikian dan kejadian terbaharu berlaku beberapa hari lalu selepas dia pulang lewat ke rumah kerana bermain sukan.
Nenek mangsa, berusia 72 tahun, mengaku melakukan kekasaran tersebut dengan alasan dia bertindak atas dasar bimbang kerana cucunya itu sering pulang lewat.
Dia yang menjaga Pae sejak lahir selepas ditinggalkan oleh anak perempuannya, berjanji tidak akan memukul cucunya lagi.
Namun, wanita itu sempat meluahkan rasa terkilan dengan menyatakan jika dia meninggal dunia, cucunya itu boleh diambil untuk dijadikan anak angkat.
Ketua Kampung, Kanchana Uthairam, mengesahkan pihaknya dimaklumkan oleh guru kelas mangsa selepas menyedari Pae tidak mampu menggerakkan pergelangan tangan kirinya semasa aktiviti pengakap.
Pemeriksaan fizikal lanjut kemudian mendedahkan kesan lebam yang besar pada bahagian dada dan paha mangsa.
Kes itu kini dalam perhatian pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin. -AGENSI










