Barang kemas lebih RM1.2 juta dilarikan - Utusan Malaysia

Barang kemas lebih RM1.2 juta dilarikan

GAMBAR fail beberapa pelanggan berada di sebuah kedai emas di Bangkok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Polis Thailand berjaya mengenal pasti suspek dalam kes rompakan sebuah kedai emas di pusat beli-belah Soi Sukhumvit 50, Bangkok, yang mengakibatkan barangan berharga bernilai lebih 10 juta baht (RM1.2 juta) dan wang tunai 170,000 baht (RM21,303) dicuri.

Komander Divisyen 5 Polis Metropolitan, Wittawat Chinkham berkata, rompakan berlaku sekitar pukul 11.35 malam waktu tempatan pada 31 Januari lalu, ketika empat wanita sedang menutup kedai berkenaan.

Menurut kenyataan pekerja, kedai emas itu secara rasmi ditutup pada pukul 10 malam waktu tempatan dan mereka biasanya meninggalkan sedikit ruang di pintu hadapan sebelum menutupnya.

Ketika kejadian, para pekerja berada di dalam kedai apabila suspek dilaporkan masuk melalui ruang di bawah pintu.

Suspek dilaporkan mengugut mereka dengan senjata api sebelum mencurahkan minyak di bahagian hadapan kedai, sambil memberi amaran dia akan membakar seluruh pusat beli-belah jika enggan menyerahkan emas.

Ekoran bimbang terhadap keselamatan diri dan orang lain di dalam bangunan, pekerja-pekerja tersebut terpaksa menyerahkan aksesori emas dan wang tunai kepada suspek sebelum dia melarikan diri dari lokasi kejadian.

Wittawat bagaimanapun memberitahu saluran televisyen Channel 7, nilai aksesori emas yang dicuri mungkin mencecah sehingga 13 juta baht (RM1.6 juta) dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Polis kini mengenal pasti suspek dan bersiap sedia untuk memohon waran tangkap. 

Pihak berkuasa juga percaya suspek tidak bertindak sendirian, dan masih menyiasat sama ada terdapat individu lain yang turut bersubahat dalam membantu rompakan.

Kesemua pekerja kedai emas terbabit menafikan sebarang penglibatan dalam jenayah itu dan menjelaskan tindakan membiarkan sebahagian pintu premis dibuka adalah amalan biasa.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN