Kuala Pilah jadi tumpuan tukar beli emas

Kuala Pilah jadi tumpuan tukar beli emas

ORANG ramai tetap mengunjungi dan membeli barang kemas dari kedai-kedai emas di pekan Kuala Pilah meskipun harga logam berharga itu menunjukkan peningkatan ketara kebelakangan ini.-UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Lonjakan tinggi harga emas ketika ini bukanlah penghalang kedai-kedai emas di pekan Kuala Pilah di sini terus menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, orang ramai masih mengambil peluang membeli dan menjual emas termasuk melalui kaedah tukar beli (trade in)

Eksekutif Jualan Kedai Emas Nur Jannah, Nurul Nabiqah Erien Miza Azmi, 27, berkata, pembelian dan penjualan emas berlaku secara seimbang serta kebanyakan pelanggan lazimnya membeli emas antara 10 hingga 15 gram.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ada pembeli yang membuat penukaran menerusi sistem trade-in bagi mendapatkan rekaan baharu dan mengikut trend.

“Ada yang membeli, ada juga yang menjual kerana kebanyakan pembeli akan menjual untuk menukar emas yang baharu.

“Sebab kadang-kadang barang kemas sudah lama dan kotor serta rekaan pun sudah tidak ikut trend. Jadi mereka akan memilih rekaan yang baharu terutama untuk dipakai semasa hari raya,” katanya.

Kedai-kedai emas yang banyak terdapat di pekan Kuala Pilah memang popular kerana dikata menawarkan harga upah yang lebih rendah berbanding lokasi lain selain turut mempunyai pelbagai rekaan menarik serta terkini.

Nurul Nabiqah berkata, meski harga emas meningkat, kadar upah pembuatan masih dikekalkan, sekali gus menjadi antara faktor utama pelanggan memilih untuk membeli.

Sementara itu, seorang pelanggan, Siti Amira Md Zubir, 41, berkata, dia tetap membeli emas walaupun harga semasa berada pada paras tinggi kerana menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini