PETALING JAYA: Rakyat Malaysia di Thailand dinasihatkan supaya memakai pelitup muka dan menghindari daripada terdedah kepada udara serta aktiviti luar, susulan peningkatan paras zarah halus (Particulate Matter) atau PM2.5.
Pejabat Konsular Kedutaan Malaysia di Bangkok mengeluarkan arahan itu ekoran amaran kesihatan awam dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DPM) Kementerian Dalam Negeri Thailand, hari ini.
Keadaan cuaca semasa menyebabkan peningkatan paras zarah PM2.5 boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Menurut notis dikeluarkan, keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga satu hingga dua hari ke depan.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, termasuk memakai pelitup muka yang sesuai bagi menapis habuk, mengurangkan pendedahan kepada udara luar serta mengelakkan sebarang aktiviti luar.
“Rakyat Malaysia yang mengalami sebarang gejala luar biasa dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan di hospital atau fasiliti kesihatan terdekat,” katanya.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, Thailand khususnya Bangkok mengalami pencemaran habuk pada paras PM2.5 yang menyebabkan kualiti udara buruk dan risiko kesihatan.
Ia berpunca daripada aktiviti pembakaran pertanian dan lain-lain pencemaran udara serta keadaan cuaca dengan tekanan tinggi serta angin lemah menyebabkan habuk pencemaran terperangkap dalam udara. – UTUSAN










