MONTERREY: Sekumpulan anjing robot akan membantu polis Mexico menangani jenayah semasa Piala Dunia 2026 musim panas ini, menurut pihak berkuasa.
Robot berkaki empat ini direka untuk memasuki kawasan berbahaya dan menyiarkan video secara langsung kepada pasukan keselamatan, yang boleh memantau sebelum mengambil tindakan semasa kejohanan bola sepak tersebut.
Acara global tersebut yang bakal berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, akan dianjurkan oleh Mexico bersama Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Robot menyerupai haiwan itu dibeli dengan kos 2.5 juta pesos (RM570,726) oleh majlis bandaraya Guadalupe, sebahagian daripada kawasan metro Monterrey yang akan menjadi salah satu lokasi perlawanan Piala Dunia.
Satu video yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan menunjukkan robot itu berjalan melalui sebuah bangunan terbiar dan memanjat tangga, walaupun dengan sedikit kesukaran.
Robo-anjing itu dapat dilihat menyiarkan imej secara langsung kepada sekumpulan pegawai polis yang bergerak secara senyap di belakangnya.
Dalam demonstrasi, robot anjing tersebut berdepan seorang lelaki bersenjata dan mengarahkannya meletakkan pistol menggunakan pembesar suara.
“Tujuan penggunaan anjing robot ini adalah untuk menyokong pegawai polis dalam intervensi awal bagi melindungi keselamatan fizikal pegawai.
“Mereka akan dikerahkan sekiranya berlaku sebarang pertengkaran,” kata Datuk Bandar Guadalupe, Hector Garcia.
BBVA Stadium yang dikenali sebagai Estadio Monterrey sepanjang kejohanan, akan menjadi tuan rumah bagi empat perlawanan.-AFP











