DAVOS: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelan pembinaan semula ‘Gaza Baharu dengan rancangan pembangunan menara kediaman, pusat data serta resort mewah tepi pantai.
Pelan itu dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha Presiden, Donald Trump untuk memajukan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang tergugat oleh pelanggaran berulang.
Paparan menunjukkan puluhan pencakar langit yang terbentang sepanjang Pantai Mediterranean serta kawasan perumahan di sekitar Rafah, manakala peta pula memaparkan pembangunan berperingkat bagi kediaman, pertanian dan perindustrian baharu untuk populasi seramai 2.1 juta orang itu.
Pelan itu dibentangkan semasa upacara menandatangani penyertaan dalam Lembaga Keamanan dipengerusikan Trump yang diberi tanggungjawab untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza serta menyelesaikan pelbagai konflik global.
“Kita akan sangat berjaya di Gaza. Ia akan menjadi sesuatu yang hebat untuk disaksikan. Saya seorang tokoh hartanah pada asasnya, dan semuanya berkaitan lokasi.
“Lihat lokasi ini di tepi laut. Lihat betapa indahnya hartanah ini. Apa yang boleh diwujudkan untuk begitu ramai orang,” kata Trump di Forum Ekonomi Dunia di Davos .
Selepas menganjurkan majlis menandatangani lembaga tersebut di Davos, Trump menjemput menantunya, Jared Kushner untuk membentangkan pelan pembangunan semula Gaza yang bandar-bandar dan pekannya kini musnah akibat dua tahun peperangan.
Kushner, yang membantu merundingkan gencatan senjata pada Oktober lalu berkata, sebanyak 90,000 tan bahan letupan digugurkan ke atas Gaza dan terdapat kira-kira 60 juta tan runtuhan yang perlu dibersihkan.
“Pada mulanya, kami bermain dengan idea membina zon bebas, kemudian kita ada zon Hamas. Namun kita perlu rancang untuk kejayaan besar-besaran.
“Hamas sudah menandatangani perjanjian untuk perlucutan senjata dan itulah yang akan kami kuatkuasakan. Orang ramai bertanya apakah pelan B kami. Kami tidak mempunyai pelan B,” katanya.
PELAN INDUK
Kushner membentangkan kepada hadirin satu tayangan yang menggambarkan pelan induk bagi Gaza Baharu, dipaparkan dalam peta berkod warna dengan kawasan diperuntukkan untuk pembangunan kediaman, pusat data dan taman perindustrian.
Visual tersebut turut memaparkan imej pantai Mediterranean yang dipenuhi menara berkilauan, menyerupai pembangunan di Dubai atau Singapura. Ia mencadangkan pembangunan semula akan bermula di Rafah di selatan Gaza, kawasan yang kini berada sepenuhnya di bawah kawalan ketenteraan Israel.
Peta pelan induk itu turut menunjukkan zon yang dikhaskan untuk pelancongan pesisir pantai, merangkumi 180 bangunan menara, selain beberapa zon lain untuk kawasan kediaman, kompleks perindustrian, pusat data, pembuatan berteknologi tinggi serta taman, pertanian dan kemudahan sukan.
Sebuah pelabuhan laut dan lapangan terbang baharu akan dibina berhampiran sempadan Mesir, selain sebuah lintasan tiga hala di kawasan pertemuan sempadan Mesir dan Israel.
Pembangunan semula itu akan dibahagikan kepada empat fasa, bermula di Rafah dan kemudian bergerak secara berperingkat ke arah utara menuju Gaza City.
Peta itu turut memaparkan satu jalur tanah kosong yang memanjang di sepanjang sempadan Mesir dan Israel. Ia dilihat menandakan apa yang dirujuk dalam pelan damai 20 perkara Trump sebagai ‘perimeter keselamatan’, di mana tentera Israel akan kekal sehingga Gaza benar-benar selamat.
Satu lagi visual menunjukkan ‘Rafah Baharu’ akan mempunyai lebih 100,000 unit perumahan kekal, 200 pusat pendidikan dan 75 kemudahan perubatan.
Kira-kira 280,000 penduduk pernah menetap di bandar paling selatan Gaza itu, namun ia kini sebahagian besarnya musnah akibat serangan udara dan perobohan terkawal oleh Israel sepanjang perang dan kini terletak dalam wilayah yang dikuasai rejim itu.
Kushner berkata, beliau percaya pembinaan Rafah Baharu boleh disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Kami sudah mula mengalihkan runtuhan dan menjalankan sebahagian kerja perobohan. Kemudian Gaza Baharu. Ia boleh menjadi harapan, ia boleh menjadi destinasi, dengan banyak aktiviti perindustrian,” katanya.
Katanya, dalam beberapa minggu akan datang, satu persidangan akan diadakan di Washington, di mana sumbangan daripada negara-negara akan diumumkan serta peluang pelaburan yang luar biasa untuk sektor swasta akan diperincikan.
Bagaimanapun, pembentangan tersebut tidak menyentuh isu utama seperti hak pemilikan harta atau pampasan kepada rakyat Palestin yang kehilangan rumah, perniagaan dan mata pencarian akibat perang.
Ia juga tidak menjelaskan di mana penduduk Palestin yang dipindahkan akan ditempatkan sepanjang proses pembinaan semula.
Visual yang ditunjukkan oleh Kushner hampir sama dengan yang dibocorkan kepada Wall Street Journal pada Disember lalu. Akhbar itu melaporkan AS menawarkan untuk menjadi pemangkin kepada 20 peratus daripada projek pembangunan semula tersebut, tanpa penjelasan terperinci.
Pembentangan Kushner di Davos dibuat susulan ucapan Ali Shaath, seorang teknokrat Palestin yang disokong Washington untuk mentadbir Gaza di bawah pelan 20 perkara Trump.
Antara elemen utama gencatan senjata yang masih belum dilaksanakan ialah pembukaan semula lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir bagi membolehkan pergerakan keluar masuk rakyat Palestin.
Ali yang berucap melalui pautan video, mengumumkan lintasan Rafah akan dibuka minggu depan.
“Pembukaan Rafah menandakan Gaza kini terbuka kepada masa depan dan pemulihan selepas perang,” katanya.
Israel, yang mengawal bahagian Gaza di lintasan tersebut, menolak pembukaannya sehingga Hamas memenuhi obligasi gencatan senjata untuk memulangkan mayat tebusan terakhir yang masih ditahan di wilayah itu.
Selepas pengumuman Ali, satu sumber politik Israel berkata, usaha khas sedang dijalankan untuk mendapatkan semula mayatRan Gvili dan Israel akan membincangkan pembukaan semula lintasan tersebut bermula minggu depan.-AGENSI










