WASHINGTON: Trump Mobile, syarikat telefon yang dilancarkan oleh perniagaan keluarga Presiden, Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menunda rancangan untuk melancarkan telefon pintar berwarna emas bernilai AS$499 (RM2,024) menjelang akhir tahun.
Trump Organization memberi kebenaran menggunakan namanya untuk melancarkan perkhidmatan telefon dan peranti itu pada Jun lalu, sebagai cara menjana wang daripada perniagaan keluarga yang kini dikendalikan oleh anak-anak beliau.
Menurut Financial Times, Trump Mobile menyatakan telefon T1 mungkin tidak dapat dipasarkan bulan ini, kerana pasukan khidmat pelanggan syarikat menjelaskan penutupan kerajaan baru-baru ini menjejaskan proses penjualan.
Telefon T1, yang digambarkan sebagai kebanggaan buatan AS awalnya dipromosikan sebagai pesaing kepada Apple dan Samsung di pasaran negara itu. Hampir semua telefon pintar yang dijual di AS dihasilkan di luar negara, terutamanya di China dan Korea Selatan, serta semakin banyak di India dan Vietnam.
Telefon T1 yang bertemakan bendera AS sepatutnya dilancarkan pada Ogos, tetapi laman web masih menyatakan ia akan keluar kemudian pada tahun ini. Pelanggan perlu membayar AS$100 (RM405) sebagai bayaran tempahan awal.
Pelancaran T1 berlaku selepas Trump mengkritik Apple kerana merancang memindahkan pengeluaran iPhone untuk pasaran AS dari China ke India. Namun, pengeluar telefon T1 masih tidak jelas, memandangkan pengeluaran telefon pintar domestik di AS masih rendah.
Trump Mobile juga menawarkan pelan kontrak telefon $47.45 (RM192) sebulan, dengan harga dan nama rancangan merujuk kepada Trump sebagai presiden ke-47 AS.
Selain itu, syarikat mula menjual telefon pintar terpakai dari Apple dan Samsung dengan harga rendah.
Projek telefon ini diketuai oleh Donald Jr. dan Eric Trump, yang mengambil alih syarikat keluarga selepas ayah mereka kembali berkhidmat sebagai presiden buat kali kedua. -AGENSI










