TikTok sekat iklan ahli politik menjelang pilihan raya Thailand

TikTok sekat iklan ahli politik menjelang pilihan raya Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Platform media sosial popular, TikTok, mengumumkan sekatan terhadap calon pilihan raya Thailand daripada membayar untuk iklan atau menjana pendapatan menerusi kandungan mereka sepanjang tempoh berkempen.

Iklan politik serta pengumpulan hasil daripada kandungan politik sememangnya telah dilarang oleh platform perkongsian video tersebut.

Justeru, peraturan sedia ada itu kini turut merangkumi akaun calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya pada 8 Februari ini.

TikTok, yang dimiliki oleh syarikat gergasi China, ByteDance memaklumkan pada 15 Januari pihaknya akan bekerjasama dengan organisasi semakan fakta untuk mengesahkan dakwaan politik.

Selain itu, kakitangan pemantauan dalamannya akan memadam sebarang bentuk maklumat palsu atau salah.

Pihak pengurusan menjangkakan peningkatan jumlah hantaran yang mengelirukan, termasuk kandungan janaan kecerdasan buatan (AI) serta video yang menghasut kebencian atau keganasan menjelang hari pengundian.

“Kandungan sedemikian akan dipadamkan daripada platform. Kami tidak dapat mengelak daripada melihat peningkatan hantaran seumpama itu memandangkan lebih ramai pengguna menyuarakan pendapat mengenai politik.

“Sebarang kandungan politik, sama ada daripada parti politik atau pencipta kandungan termasuk media, tidak boleh dipromosikan melalui iklan berbayar sama sekali,” kata Pengurus Jangkauan dan Rakan Kongsi TikTok, Siriprapa Weerachaising..

Terdapat kira-kira 50 juta pengguna TikTok di Thailand, angka yang hampir menyamai jumlah 53 juta rakyat yang layak mengundi di negara berkenaan.

TikTok mendedahkansebanyak 4.4 juta video dipadamkan daripada platformnya pada suku ketiga tahun 2025 kerana melanggar piawaian komuniti. Bagaimanapun, syarikat itu tidak memperincikan jumlah hantaran yang diklasifikasikan sebagai kandungan politik.

Menurut data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, calon daripada 57 parti politik bakal bertanding untuk merebut sejumlah 500 kerusi, termasuk 100 kerusi senarai parti bagi Dewan Perwakilan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN