Tesla kurangkan pengeluaran model kereta, alih fokus kepada robotik dan AI

Tesla kurangkan pengeluaran model kereta, alih fokus kepada robotik dan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Gergasi kenderaan elektrik (EV), Tesla, melaporkan penurunan pendapatan tahunan buat pertama kalinya ketika syarikat itu mula beralih tumpuan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Syarikat yang diterajui jutawan Elon Musk itu mencatatkan penurunan jumlah pendapatan sebanyak tiga peratus bagi tahun 2025, manakala keuntungan bagi tiga bulan terakhir tahun tersebut merosot mendadak sebanyak 61 peratus.

Susulan itu, Tesla mengumumkan rancangan untuk menamatkan pengeluaran model kereta Model S dan Model X. Kilang pembuatannya di California yang sebelum ini menghasilkan model berkenaan akan dialih fungsi untuk mengeluarkan rangkaian robot humanoid yang dikenali sebagai Optimus.

Penganalisis berpendapat langkah menghentikan Model S dan Model X adalah munasabah memandangkan kedua-dua model itu sudah lama mencatatkan jumlah jualan yang rendah.

Tesla kini dijangka memberi tumpuan kepada produk volum tinggi seperti Model 3 dan Model Y, selain menceburi perniagaan teksi robot.

Pada Januari lalu, syarikat BYD dari China telah memintas Tesla sebagai pengeluar EV terbesar dunia. Keadaan ini diburukkan lagi dengan penglibatan Musk dalam politik AS dan luar negara yang mencetuskan kontroversi sehingga menjejaskan imej jenama tersebut.

Tesla turut mendedahkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM7.87 bilion) dalam xAI, iaitu syarikat kecerdasan buatan milik Musk.

“Ramai pelabur meminta kami berbuat demikian. Mereka berpendapat kami perlu melabur dalam xAI, jadi kami hanya menuruti kehendak pemegang saham,” kata Musk mengenai penyertaan Tesla dalam pusingan pembiayaan terbaru xAI.

Bagaimanapun, tindakan itu tetap dilaksanakan meskipun undian pemegang saham Tesla sebelum ini menunjukkan jumlah yang berkecuali dan menentang idea pelaburan tersebut lebih tinggi daripada yang menyokong.

Tahun lalu, majoriti pelabur mengundi untuk memberikan pakej gaji pecah rekod kepada Musk yang dianggarkan bernilai hampir AS$1 trillion (RM3.93 trillion).

Namun, bagi melayakkan beliau menerima bayaran tersebut, Musk perlu meningkatkan nilai pasaran syarikat secara drastik dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tesla juga dijangka meningkatkan perbelanjaan modal sebanyak AS$20 bilion (RM78.7 bilion).

“Ia akan menjadi perbelanjaan modal yang sangat besar tahun depan. Kami sedang membuat pelaburan besar untuk masa depan yang hebat,” ujar Musk kepada penganalisis.

Peralihan daripada  perniagaan EV ini berlaku ketika pentadbiran Presiden, Donald Trump bertindak menarik balik beberapa subsidi kerajaan AS bagi kenderaan bukan bahan api fosil. Musk sendiri memegang peranan berprofil tinggi dalam jawatankuasa pengurangan kos di bawah pentadbiran Trump.

Aktiviti politik Musk dilaporkan telah menjauhkan sebahagian daripada pangkalan pelanggan Tesla, dengan beberapa siri protes dilaporkan berlaku di pusat jualan mereka di seluruh dunia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×