DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa mengumumkan satu perjanjian gencatan senjata dengan ketua pasukan Kurdish selepas tentera kerajaan mara ke kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan tersebut di utara dan timur negara itu.
Ketua Pasukan Demokratik Syria (SDF), Mazloum Abdi berkata, beliau bersetuju dengan perjanjian tersebut bagi mengelakkan konflik yang lebih besar.
Keputusan itu dibuat susulan pertempuran berdarah pada Ahad di bandar Raqa antara pasukan pimpinan Kurdish dan pejuang tempatan yang setia kepada Damsyik berikutan ketegangan yang tercetus awal bulan ini.
Perjanjian itu juga memperuntukkan pentadbiran dan pasukan Kurdish diserap ke dalam struktur negara, selepas rundingan berbulan-bulan mengenai isu itu menemui jalan buntu.
“Bagi memastikan peperangan ini tidak bertukar menjadi perang saudara, kami bersetuju untuk berundur dari wilayah Deir Ezzor dan Raqa ke Hasakeh,” kata Mazloum dalam kenyataan yang disiarkan saluran televisyen Kurdi Ronahi.
Beliau berkata, butiran perjanjian itu akan dijelaskan kepada masyarakat Kurdish Syria selepas beliau kembali dari Damsyik.
Namun, langkah tersebut dilihat sebagai satu tamparan kepada minoriti Kurdish yang sejak sekian lama berusaha mengekalkan autonomi de facto di wilayah yang mereka kuasai lebih sedekad lalu.
Pada Ahad, tentera kerajaan menawan bandar strategik Tabqa di wilayah Raqa serta Empangan Euphrates sebelum mara ke beberapa bahagian wilayah Deir Ezzor, termasuk medan minyak Al-Omar yang terbesar di Syria.
Media kerajaan Syria melaporkan suasana perayaan di beberapa kawasan selepas pengumuman perjanjian itu, termasuk di bandar Raqa, di mana sebelum ini tembakan SDF dilaporkan mengorbankan dua orang awam.-AFP










