TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyeru rakyatnya untuk bersatu menghadapi tekanan ekonomi ketika protes akibat kenaikan kos sara hidup merebak ke seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya seorang anggota paramiliter terbunuh dan 13 lagi cedera di wilayah barat Lorestan.
Seruan Pezeshkian dibuat ketika pasukan keselamatan di wilayah selatan Fars melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang cuba memecah masuk bangunan kerajaan tempatan.
Protes berlarutan sejak peniaga di Teheran memulakan demonstrasi pada Ahad lalu apabila nilai rial jatuh ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), memburukkan lagi kesulitan ekonomi di tengah-tengah inflasi tinggi dan kos hidup yang makin meningkat.
Bercakap di sebuah forum perniagaan di Teheran, Pezeshkian menyalahkan campur tangan asing atas kekacauan yang berlaku.
Beliau turut menegaskan negara itu kini sedang menghadapi ‘perang berskala penuh’.
“Kita berada dalam situasi di mana tekanan luar dikenakan oleh musuh negara dan malangnya, juga terdapat di dalam negara sendiri.
“Sekarang, musuh meletakkan sebahagian besar harapan mereka untuk menjatuhkan kita melalui tekanan ekonomi. Mereka tidak boleh menakluk sesebuah bangsa dengan bom, jet pejuang atau peluru berpandu.
“Jika mereka cuba menentang bangsa ini secara langsung, sekiranya kita tetap bertekad, bersatu dan komited untuk bekerja bersama bagi membanggakan negara kita, mereka tidak akan mampu menundukkan Iran,” tegasnya.
PROTES BERTUKAR GANAS
Ekonomi Iran menghadapi cabaran besar sejak beberapa tahun lalu, selepas AS mengenakan semula sekatan pada 2018 ketika Presiden, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa berkaitan program nuklear Teheran.
Kuasa Eropah pada September tahun lalu juga memulakan kembali sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menuduh Iran melanggar perjanjian 2015.
Langkah itu berlaku beberapa bulan selepas Israel dan AS membom tapak nuklear Iran. Iran menafikan membina senjata nuklear.
Mata wang rial Iran kehilangan hampir separuh nilainya berbanding dolar pada 2025, dengan inflasi mencecah sekitar 50 peratus pada Disember lalu.
Nilai pertukaran rial ketika protes peniaga di Grand Bazaar Teheran bermula ialah kira-kira 1.42 juta rial bagi setiap dolar AS, berbanding 820,000 rial setahun lalu.
Protes itu kini melibatkan pelajar universiti di Teheran dan merebak ke beberapa bandar lain termasuk Isfahan, Yazd, Zanjan, Kuhdasht, dan Fasa, menurut media rasmi.
Di Kuhdasht, wilayah barat Lorestan, media rasmi melaporkan seorang anggota paramiliter Basij berusia 21 tahun, Amir Hossam Khodayari Fard terbunuh dalam tindakan ganas yang didakwa dilakukan oleh kumpulan perusuh.
Seorang pegawai keselamatan berkata, kekacauan itu dirancang oleh ‘elemen oportunis yang berkaitan dengan musuh Iran’ yang mengambil kesempatan daripada suasana protes rakyat di negara itu.
Di Fasa, wilayah selatan Fars, pegawai berkata, penunjuk perasaan bertimdak menyerang pejabat gabenor wilayah dan merosakkan sebahagian pintu bangunan berkenaan.
Menurut agensi berita Tasnim, tiga anggota keselamatan cedera manakala empat penyerang ditahan dalam kejadian itu.
Video yang disiarkan media rasmi menunjukkan sekumpulan orang cuba memecah masuk pintu bangunan.
MEKANISME DIALOG
Pihak berkuasa Iran sebelum ini mengawal protes berkaitan harga, kemarau, hak wanita dan kebebasan politik dengan langkah keselamatan tegas dan penahanan besar-besaran.
Kali ini, kerajaan berkata, ia akan menubuhkan mekanisme dialog dengan pemimpin protes, walaupun tidak menjelaskan bagaimana proses itu akan dijalankan.
“Kerajaan akan mendengar dengan sabar walaupun terdapat suara keras kerana kita percaya rakyat kita cukup sabar dan apabila suara mereka meningkat, tekanan yang dihadapi juga tinggi,” kata jurucakap kerajaan, Fatemeh Mohajerani dalam sidang media di Teheran.
Beliau menegaskan kerajaan mengiktiraf hak untuk berhimpun secara aman.
Peguam negara, Mohammad Movahedi-Azad pula memberi amaran tentang tindak balas tegas sekiranya protes mengganggu kestabilan negara.
“Protes aman berkaitan sara hidup adalah sebahagian daripada realiti sosial yang boleh difahami.
“Sebarang percubaan untuk menjadikan protes ekonomi sebagai alat ketidakstabilan, kemusnahan harta awam atau pelaksanaan senario yang direka secara luar akan dihadapi dengan tindak balas undang-undang yang setimpal dan tegas,” katanya.
Sebahagian besar rakyat Iran prihatin terhadap cabaran ekonomi, namun ancaman konflik dengan Israel dan AS turut membebankan.
“Keutamaan nombor satu rakyat adalah memperbaiki keadaan ekonomi, terutamanya harga barangan yang meningkat,” kata seorang penunjuk perasaan.
Sesetengah penganalisis berpendapat rakyat Iran tidak yakin kerajaan mampu menangani masalah ekonomi.
“Banyak daripada kekurangan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan datang daripada kenyataan kerajaan sendiri,” kata Naib Presiden Eksekutif Quincy Institute for Responsible Statecraft, Trita Parsi.
Beliau berkata, persoalan besar kini ialah sama ada protes ini akan berkembang menjadi saluran kemarahan rakyat terhadap isu lain selain ekonomi.










