KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melahirkan lebih ramai beregu campuran bagi mewujudkan persaingan yang lebih kompetitif dalam sektor tersebut seperti mana kuasa besar China yang memiliki ramai pasangan bertaraf dunia.
Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga amat berharap akan ada lebih ramai wakil negara yang beraksi pada kejohanan berprestij seperti Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000.
Tang Jie berkata, jika Malaysia memiliki ramai pasangan yang berkualiti, ia lebih bagus kerana mereka boleh ‘naik’ bersama-sama.
“Kalau tengok China, mereka ada lima ke enam pasangan. Jadi, kami sangat berharap rakan sepasukan kami semua boleh naik bersama-sama,” katanya kepada pemberita selepas aksi pusingan kedua menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada Terbuka Malaysia, semalam.
Pada pertemuan tersebut, Tang Jie-Ee Wei menewaskan Pang Ron-Su Yin yang berada di tangga ke-21 dunia 21-13, 23-21 dalam masa 41 minit.
Beregu No. 4 dunia itu akan berdepan pasangan No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong di suku akhir, hari ini.
Tang Jie juga berharap sokongan yang seimbang dapat diberikan kepada rakan sepasukannya walaupun ada dalam kalangan mereka yang terpaksa melalui fasa turun dan naik.
“Setiap hari latihan kami tahu bila mereka bergelut, bila mereka yakin. Saya dan Ee Wei pun sama. Saya rasa setiap atlet betul-betul mengharapkan sokongan daripada rakyat Malaysia untuk kami melangkah lebih jauh,” katanya.
Mengulas mengenai beregu Hong Kong yang bakal ditemui, hari ini, Ee Wei pula berkata, Chun Man-Ying Suet merupakan pasangan yang sangat berpengalaman, jadi, penting untuk mereka memberikan yang terbaik untuk Malaysia dan juga peminat.
Sementara itu, satu lagi wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terkandas selepas tewas di tangan pasangan Amerika Syarikat, Presley, Smith-Jennie Gai 9-21, 17-21 dalam masa 35 minit.
Kurang cergas ekoran masalah kesihatan telah menjadi penyumbang kekalahan Soon Huat-Shevon di pusingan kedua itu.
ends.
KAPSYEN: AKSI pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika menentang rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng su Yin pada pusingan 16 Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026, di Stadium Axiata Arena, semalam. Foto: SHIDDIEQIIN ZON











