YAN: Lebih 80 pesawah di kawasan Sungai Lentang, di sini menghadapi musim mencabar apabila hampir 60 hektar sawah terjejas akibat ketiadaan bekalan air sejak tiga bulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan tanaman padi mungkin kurang menjadi, sekali gus bakal menjejaskan pendapatan mereka yang hanya bergantung hidup sebagai pesawah.
Low Hock Lai, 50, berkata, proses pendebungaan pokok padi yang ditanam di lebih 20 hektar sawah miliknya kini mengalami masalah kerana tiada air.
“Hampir keseluruhan petak sawah saya kering kontang hingga menyebabkan tanahnya merekah dan ini mengganggu proses pokok padi berbunga.
“Kekurangan air pastinya akan menyebabkan buah padi tidak dapat membesar dengan sempurna termasuk berisiko untuk mati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pesawah, Mohamad Syafiq Zulkifli, 26, berkata, ketiadaan bekalan air di kawasan mereka bermula awal Oktober lalu ketika proses menabur anak benih dilaksanakan.
“Pada musim sebelum ini, kami tiada masalah apabila air yang dibekalkan melalui Sungai Batu 18 mencukupi. Namun apabila ketiadaan hujan kali ini, sungai itu tidak dapat mengalirkan air sehingga menjadikan saluran yang menjadi punca air untuk disalur ke sawah kami kering kontang,” katanya.
Bagi Abdul Hadi Fadzil, 42, tanaman padi seluas kira-kira empat hektar yang diusahakan selama ini mengalami masalah terbantut dan berisiko mati kerana kekurangan air.
“Kemarau berterusan yang bermula sejak November lalu menjadikan tali air kering yang pastinya akan merencatkan proses berbunga dan seterusnya menjadikan buah padi rosak dan tidak berisi.
“Musim padi kali ini merupakan yang terburuk dan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar, saya terpaksa membeli pam untuk menyedut air dari tali air berhampiran.
“Hendak tabur baja pun terganggu kerana tiada air di dalam petak dan paling merisaukan keadaan ini sudah pasti membantutkan padi berbuah,” katanya. – UTUSAN










