Pritam Singh dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Singapura

Pritam Singh dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyingkir Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang dan menjemput Parti Pekerja (WP) untuk mencalonkan Ahli Parlimen lain bagi jawatan tersebut.

Lapor CNA, jawatan Singh dilucutkan sehari selepas Parlimen mengundi beliau tidak sesuai untuk meneruskan peranan tersebut susulan sabitannya kerana menipu jawatankuasa Parlimen.

Wong dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat bagi menegakkan undang-undang serta maruah dan integriti Parlimen.

“Setelah meneliti perkara ini, saya memutuskan bahawa sabitan jenayah Singh, bersama dengan pandangan Parlimen beliau tidak sesuai, menjadikan beliau tidak lagi layak untuk meneruskan peranan sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.

Wong memaklumkan sudah menjemput WP untuk mencalonkan seorang lagi ahli Parlimen yang dipilih bagi menggantikan jawatan Ketua Pembangkang.

“Calon ini tidak boleh terlibat dalam sebarang keputusan Jawatankuasa Keistimewaan sebelum ini, dan mesti memenuhi piawaian tinggi yang dijangkakan daripada jawatan ini.

“Saya berharap dapat menerima pencalonan mereka tidak lama lagi, supaya jawatan penting dalam demokrasi Parlimen kita ini tidak kekosongan terlalu lama,” katanya.

Wong turut menyebut dalam kenyataannya, semasa perbahasan di Parlimen pada hari Rabu, Singh menegaskan beliau menerima keputusan mahkamah, tetapi menolak beberapa penemuan dan mengekalkan bahawa beliau tidak bersalah.

“ Singh berhak dengan pandangan peribadinya. Tetapi soal bersalah atau tidak ditentukan melalui proses mahkamah yang adil.  Singh telah disabitkan oleh Mahkamah Daerah atas dua tuduhan menipu Jawatankuasa Keistimewaan, mengesahkan penemuan COP sebelum ini.

“Rayuannya ke Mahkamah Tinggi telah ditolak. Keputusan undang-undang ini adalah muktamad dan harus dihormati, serta diberi kesan penuh dalam menilai kesesuaiannya meneruskan jawatan Ketua Pembangkang,” kata Wong.

WP mengesahkan sudah menerima surat daripada Wong yang ditujukan kepada jawatankuasa eksekutif pusat mereka.

Parti itu berkata ia akan meneliti kandungannya melalui proses dalaman dan akan memberi maklum balas segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×