MANILA: Lebih 20 kontena mengandungi zink radioaktif yang terdampar di Teluk Manila selama beberapa bulan berjaya dibawa ke darat dan ditempatkan di sebuah lokasi selamat, menurut institut penyelidikan nuklear negara itu pada Rabu.
Sebanyak 23 kontena tersebut tiba di Manila menaiki kapal MV Hansa Augsburg pada akhir September lalu selepas pihak berkuasa Indonesia menolak dan mengeksport semula penghantaran berkenaan apabila mengesan kesan bahan radioaktif Caesium-137.
Jakarta menghantar pulang penghantaran itu ketika memperketatkan kawalan terhadap import besi buruk dan keluli susulan skandal berkaitan dakwaan pencemaran radioaktif dalam produk makanan.
Sumber yang mengetahui keadaan tersebut memaklumkan kontena berkenaan sudah dipunggah di pelabuhan Manila pada Ahad lalu, sekitar pukul 10.27 pagi.
Pengarah Institut Penyelidikan Nuklear Filipina (PNRI), Carlo Arcilla yang sebelum ini menyifatkan isu itu sebagai masalah yang boleh diselesaikan memberitahu AFP, zink berkenaan kini menunggu penyelesaian jangka sederhana, dengan kemudahan ketenteraan di Teluk Subic dikenal pasti sebagai lokasi penyimpanan berpotensi.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi semasa kontena tersebut. Namun, seorang pegawai lain yang enggan dikenali berkata, ia ditempatkan di kawasan simpanan sementara di luar Metro Manila.
“Pihak Berkuasa Metropolitan Teluk Subic terbuka kepada idea ini kerana terdapat bunker peluru di sana sejak Perang Dunia Kedua. Saya sudah melihat bunker tersebut dan keadaannya masih baik.
“Pencemaran adalah lemah kerana pada jarak satu meter dari kontena, paras radiasi kembali ke tahap semula jadi. Kru kapal juga didapati negatif radiasi,” kata Arcilla.
Menurut beliau, penyelesaian akhir akan melibatkan penyegelan penghantaran itu di dalam kemudahan khas bawah tanah yang direka khusus.
Setakat ini, kedua-dua Filipina dan Indonesia tidak mendedahkan paras radiasi sebenar dalam kontena tersebut.
Debu zink berkenaan, yang merupakan hasil sampingan pengeluaran keluli telah dieksport ke Indonesia oleh Zannwann International Trading Corp selepas diperoleh daripada syarikat kitar semula tempatan, Steel Asia.
Steel Asia sebelum ini menggantung sementara operasi di kilangnya, namun menolak kesimpulan PNRI sebagai tidak berasas dan tidak saintifik, dengan menyatakan beberapa syarikat lain turut membekalkan debu zink kepada Zannwann.
Panggilan kepada kedua-dua syarikat tersebut tidak dijawab serta-merta pada Rabu.
Sementara itu, aktivis Greenpeace Filipina, Jefferson Chua memberi amaran walaupun pendedahan kepada paras rendah Caesium-137 boleh membawa risiko kanser jangka panjang dan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar yang berpanjangan.
Isotop radioaktif tersebut yang terhasil melalui tindak balas nuklear, digunakan secara meluas dalam aplikasi industri, perubatan dan penyelidikan.-AFP










