Pemimpin EU tiba di Davos ketika Trump terus gugat aturan global

Pemimpin EU tiba di Davos ketika Trump terus gugat aturan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAVOS: Para pemimpin Eropah tampil berucap di pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada Selasa, mendahului Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ketika beliau terus cuba menggoncang aturan global dengan ancaman tarif bagi menekan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu Greenland.

Trump dijangka mendominasi perbincangan sepanjang minggu di resort ski Switzerland itu, dengan delegasi AS sudah berada di Davos untuk mempromosikan agenda Washington yang terus mengganggu ketenteraman global yang dinikmati WEF selama ini.

Presiden Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dijadual berucap pada Selasa, bersama Naib Perdana Menteri China, He Lifeng serta Perdana Menteri Kanada, Mark Carney yang masing-masing turut berdepan pertikaian dengan Trump.

Trump dijangka menyampaikan ucapan pada Rabu dan mengambil bahagian dalam beberapa acara lain pada Khamis.

Eropah kini menimbang langkah balas selepas Trump mengancam untuk mengenakan tarif ke atas lapan negara Eropah susulan kebuntuan berhubung Greenland.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent yang mengetuai delegasi AS di Davos, memberi amaran tindakan balas EU ‘amat tidak bijak’.

Von der Leyen pada Isnin bertemu delegasi dwipartisan Kongres AS di Davos dan menulis di media sosial, beliau telah menegaskan keperluan untuk menghormati sepenuhnya kedaulatan Greenland dan Kerajaan Denmark.

Walaupun Macron dijadual meninggalkan Davos pada Selasa tanpa bertemu Trump, Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, beliau akan berusaha bertemu Presiden AS itu di forum berkenaan pada Rabu.

Merz berkata, Jerman dan negara Eropah lain bersetuju mahu mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan dalam pertikaian ini sedaya mungkin.

Para pemimpin blok 27 negara EU akan mengadakan sidang kemuncak tergempar di Brussels pada Khamis bagi membincangkan tindak balas terhadap antara krisis paling serius yang melanda hubungan transatlantik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam sidang media di Davos, Presiden Finland, Alexander Stubb,berkata, ancaman tarif dalam kalangan sekutu adalah tidak boleh diterima. Ia melemahkan hubungan transatlantik dalam keadaan paling buruk dan boleh mencetuskan kitaran yang merugikan.

Apabila ditanya sama ada AS mungkin menggunakan kekerasan, Stubb menegaskan tidak percaya AS akan mengambil alih Greenland secara ketenteraan.

Denmark mencadangkan agar NATO memulakan operasi pemantauan di Greenland bagi menangani kebimbangan keselamatan.

Ketika hubungan dengan AS semakin renggang, Carney membuka lembaran baharu hubungan diplomatik dengan China menerusi lawatan ke Beijing minggu lalu, yang menyaksikan satu perjanjian perdagangan awal dicapai bagi mengurangkan tarif.

Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, yang negaranya berdepan pertikaian perdagangan berpanjangan dengan Trump, turut akan berucap di forum tersebut.

Isu panas lain dalam agenda WEF termasuk krisis di Venezuela, Gaza, Ukraine dan Iran.

AS menghantar delegasi yang luar biasa besar ke Davos, satu petanda Washington mahu menyerlahkan kehadirannya di perhimpunan pemimpin ekonomi dan politik global itu.

Bessent dan pegawai AS lain akan menyertai panel perbincangan di pusat kongres forum, selain menghadiri acara di USA House, sebuah lokasi dalam gereja lama di persiaran utama resort pergunungan berkenaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN