LONDON: Pelajar perubatan di beberapa universiti dan sebuah hospital di United Kingdom (UK) kini menerima latihan berkomunikasi serta mendapatkan maklum balas daripada pesakit kecerdasan buatan (AI) yang memiliki wajah dan suara realistik.
Doktor di Merchiston Surgery Swindon, Dr. Chris Jacobs menggunakan pesakit AI bersama pelajar di Great Western Hospital, serta di Universiti of Bristol dan Universiti Bath .
“Pesakit AI ini diwujudkan menggunakan sistem khusus bernama SimFlow.ai, yang membangunkan simulasi berkenaan. Pelajar diperkenalkan kepada pangkalan data pilihan dan seterusnya boleh bercakap serta mendapatkan maklum balas daripada pesakit AI ini.
“Jika kita dapat melahirkan komunikator yang lebih cekap, kita berharap akan ada pesakit dan doktor yang lebih gembira,” kata Jacobs.
Katanya, pelajar biasanya perlu berlatih sesama sendiri atau menempah sesi bersama pelakon, tetapi penggunaan AI menambah pilihan latihan dan membolehkan pelajar belajar lebih banyak di rumah.
“Apa yang istimewa tentang pesakit AI ini ialah ia mempunyai banyak lapisan, di mana kami mencipta emosi sebenar dan pesakit sebenar yang boleh digunakan oleh doktor, jururawat dan pelajar untuk berlatih dengan selamat, sebanyak mana pun yang mereka perlukan untuk menjadi lebih cekap,” jelas beliau kepada BBC.
Jacobs turut menekankan komunikasi yang lemah antara pesakit dan kakitangan bukan sahaja boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan sepenuhnya, malah boleh membebankan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) dengan kos tambahan.
“Terdapat proses membina hubungan, dan kadangkala kekurangan maklumat dari pesakit boleh membawa kepada diagnosis yang salah,” katanya.










