Israel robohkan ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur

Israel robohkan ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur

JENTOLAK merobohkan struktur ibu pejabat UNRWA di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel terus menyeksa penduduk Palestin dengan merobohkankan ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur, serta menembak gas pemedih mata ke sebuah sekolah vokasional UNRWA di Qalandia, Tebing Barat.

Menurut pengarah UNRWA di Tebing Barat, Roland Friedrich, pengarah UNRWA di Tebing Barat, pasukan diketuai Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir  bersama polis tiba di ibu pejabat UNRWA pada awal pagi dengan rakaman video menunjukkan jentolak merobohkan kompleks tersebut serta kemudahan di dalam ibu pejabat agensi itu.

Walaupun kemudahan tersebut hampir tidak digunakan selama setahun kerana ancaman keselamatan dan provokasi, tentera Israel tetap memasuki kawasan itu, merampas peralatan dan mengusir pengawal keselamatan swasta.

Bendera Israel turut dilihat dipasang di atas bangunan di kawasan Sheikh Jarrah, di mana beberapa ahli politik Israel hadir untuk meraikan tindakan tersebut. Ben-Gvir, menyifatkan peristiwa itu sebagai hari bersejarah dan penting untuk tadbir urus Baitulmuqaddis.

Malah, Timbalan Datuk Bandar Baitulmuqaddis, Aryeh King turut menggelar UNRWA sebagai Nazi dan berjanji untuk mengusir pertubuhan tersebut dari bandar itu.

Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini,mengecam perobohan itu sebagai serangan melampau yang belum pernah berlaku terhadap agensi dan premis PBB. 

Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai pelanggaran terburuk undang-undang antarabangsa, termasuk imuniti dan hak-hak PBB, menegaskan Israel wajib melindungi dan menghormati premis tersebut walaupun berada di luar bidang kuasa  rejim itu.

UNRWA ditubuhkan pada 1949 dan bertanggungjawab memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada 2.5 juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur serta tiga juta lagi di Syria, Jordan dan Lubnan. 

Agensi ini menjalankan sekolah, perkhidmatan kesihatan, dan mengekalkan infrastruktur di kem-kem pelarian selama bertahun-tahun.

Lazzarini menekankan tindakan biadab itu adalah kemuncak kepada dua tahun provokasi dan sekatan terhadap UNRWA di bandar berkenaan. Beliau memberi amaran tindakan serupa boleh menimpa agensi antarabangsa lain jika undang-undang antarabangsa terus diabaikan.

Di samping perobohan fizikal, Israel juga mengharamkan bekalan elektrik dan air ke premis UNRWA, serta mengenakan syarat ketat ke atas organisasi kemanusiaan lain di Gaza dan Tebing Barat, termasuk keperluan menyingkirkan kakitangan yang didakwa menentang rejim atau menyokong tindakan memboikot mereka.

Semalam pasukan tertera Israel turut menjatuhkan risalah mengarahkan puluhan keluarga Palestin di selatan Gaza meninggalkan rumah mereka, dalam pemindahan paksa pertama sejak gencatan senjata bermula ketika rejim itu memperluas kawasan di bawah kawalannya.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN