TEHERAN: Gangguan internet di peringkat nasional dilaporkan berlaku di Iran pada Khamis, menurut kumpulan pemantauan internet NetBlocks, ketika gelombang protes berkaitan tekanan ekonomi terus melanda negara itu.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan mengenai punca atau tempoh gangguan internet berkenaan.
Saksi di ibu negara Teheran serta bandar utama Mashhad dan Isfahan memaklumkan kepada Reuters, penunjuk perasaan meneruskan demonstrasi, melaungkan slogan menentang kepimpinan ulama Republik Islam Iran.
Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran terakhir yang digulingkan dalam Revolusi Islam 1979 dan kini hidup dalam buangan, dalam satu hantaran video di platform X pada Rabu menyeru rakyat supaya meneruskan protes.
Hantaran di media sosial mendakwa penunjuk perasaan di beberapa bandar dan pekan di seluruh Iran melaungkan slogan menyokong Pahlavi. Namun, media kerajaan Iran melaporkan keadaan di bandar-bandar di seluruh negara adalah tenang.
Protes ini disifatkan sebagai gelombang bantahan terbesar dalam tempoh tiga tahun, bermula bulan lalu di Bazaar Besar Teheran apabila para peniaga mengecam kejatuhan mendadak nilai mata wang rial.
Ketegangan kemudiannya merebak ke seluruh negara, didorong oleh tekanan ekonomi yang semakin meruncing akibat inflasi tinggi berpunca daripada salah urus ekonomi, sekatan Barat, serta sekatan terhadap kebebasan politik dan sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Masoud Pezeshkian memberi amaran kepada pembekal tempatan supaya tidak menyorokkan atau menaikkan harga barangan secara tidak munasabah, menurut laporan media kerajaan awal Khamis.
“Rakyat tidak seharusnya berdepan sebarang kekurangan dari segi bekalan dan pengagihan barangan,” katanya sambil menggesa kerajaan memastikan bekalan mencukupi serta pemantauan harga dilaksanakan di seluruh negara.
Teheran terus berdepan tekanan antarabangsa apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran akan tampil membantu penunjuk perasaan sekiranya pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Kenyataan itu dibuat tujuh bulan selepas tapak nuklear Iran dibom oleh tentera Israel dan AS.









