Cuaca ekstrem ganggu penerbangan dan sistem pengangkutan di Eropah Barat

Cuaca ekstrem ganggu penerbangan dan sistem pengangkutan di Eropah Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Gelombang cuaca beku yang membawa salji tebal dan ais menyebabkan gangguan besar terhadap sistem pengangkutan di seluruh Eropah Barat.

Ratusan penerbangan dibatalkan di beberapa lapangan terbang utama, manakala perkhidmatan kereta api Eurostar serta pengangkutan lori turut terjejas. Lebih 700 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, hab pengangkutan utama serantau, pada Rabu.

Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan awam Perancis mengarahkan syarikat penerbangan mengurangkan 40 peratus penerbangan yang dijadualkan di lapangan terbang antarabangsa utama Paris.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan maut akibat insiden berkaitan cuaca di Eropah minggu ini iaitu lima di Perancis dan seorang di Bosnia.

Syarikat penerbangan kebangsaan Belanda, KLM, memberi amaran bahawa Lapangan Terbang Schiphol hampir kehabisan cecair nyahais selepas beberapa hari mengalami suhu beku.

Jurucakapnya, Stephan Donker, memberitahu agensi berita Reuters bahawa keadaan di lapangan terbang itu adalah ‘luar biasa’ dengan lebih 1,000 penumpang terpaksa bermalam di situ.

Menurutnya, beberapa ratus katil telah disediakan sebelum dan selepas pemeriksaan keselamatan, selain bekalan makanan dan minuman kepada penumpang yang terkandas.

Donker turut memberi amaran mengenai kesan rantaian akibat gangguan berkenaan, dengan kemungkinan kelewatan dan pembatalan tambahan dalam beberapa hari akan datang.

Di Paris, lebih 100 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, manakala 40 lagi di Lapangan Terbang Orly. Puluhan penerbangan turut mengalami kelewatan atau pembatalan keluar masuk Lapangan Terbang Heathrow di London dan Brussels.

Beberapa perkhidmatan kereta api Eurostar antara London dan Paris juga ditangguhkan atau dibatalkan pada Rabu.

Hampir separuh wilayah tanah besar Perancis berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan salji tebal dan ais hitam, dengan lori dilarang menggunakan jalan raya di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa Perancis berkata, lima orang maut di dua wilayah berasingan awal minggu ini akibat keadaan pemanduan yang berbahaya. Di Bosnia pula, seorang wanita terbunuh di ibu negara Sarajevo selepas bandar itu dilitupi salji setebal 40 sentimeter.

Bagaimanapun, pemandangan jarang berlaku Paris dilitupi salji menarik penduduk tempatan dan pelancong untuk meluncur ski di lereng Montmartre serta di taman Champs de Mars berhampiran Menara Eiffel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×