AS masih memerhati Iran - Trump 

AS masih memerhati Iran – Trump 

KAPAL induk USS Abraham Lincoln, bersama pasukan serangan CSG kini dilaporkan berada di Lautan Hindi.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata sebuah armada tentera laut AS sedang menuju ke negara Teluk, bagi mengekalkan tekanan terhadap Iran walaupun beliau baru-baru ini menolak kemungkinan tindakan ketenteraan segera.

Minggu lalu, Trump menarik balik ancaman untuk menyerang Iran susulan tindakan keras negara itu terhadap protes anti-kerajaan, selepas Pejabat Rumah Putih memaklumkan Teheran menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap para penunjuk perasaan.

Namun, Presiden Republikan itu mengesahkan persiapan ketenteraan masih diteruskan. Media AS melaporkan kumpulan serangan kapal induk USS Abraham Lincoln diarahkan dari latihan di Laut China Selatan ke Asia Barat.

“Kami sedang memerhati Iran. Anda tahu, kami mempunyai banyak kapal yang menuju ke arah itu, sebagai langkah berjaga-jaga. Kami mempunyai pasukan besar menuju ke Iran.

“Jika boleh, saya tidak mahu apa-apa berlaku, tetapi kami memerhati mereka dengan teliti,” kata Trump kepada wartawan di Air Force One.

Trump menggambarkan pasukan itu sebagai armada dan flotila besar, tetapi mendakwa kemungkinan tidak perlu menggunakannya.

Beliau menegaskan, ancamannya untuk menggunakan kekerasan terhadap Teheran berjaya menghentikan 837 hukuman gantung terhadap para penunjuk perasaan dan beliau juga terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Iran.

Pihak berkuasa Iran pada Rabu mengeluarkan rekod rasmi pertama mengenai protes yang dilaporkan semakin reda dengan 3,117 orang terbunuh. Namun, kumpulan hak asasi berkata, bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Trump sebelum ini berulang kali mencetus kemungkinan tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran, selepas Washington menyokong dan menyertai peperangan 12 hari Israel pada Jun yang bertujuan melemahkan program nuklear dan peluru barpandu balistik republik Islam itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×