WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membatalkan lebih 100,000 visa sejak Presiden Donald Trump kembali memegang jawatan di platform anti pendatang, satu rekod bagi tempoh setahun, menurut Jabatan Negara semalam.
“Pentadbiran Trump tidak mempunyai keutamaan yang lebih besar selain melindungi rakyat AS dan mempertahankan kedaulatan AS,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott.
Jumlah pembatalan visa sejak penggal kedua Trump bermula pada 20 Januari 2025 adalah dua setengah kali ganda berbanding 2024, ketika Joe Biden masih menjadi presiden.
Jabatan Negara memaklumkan ribuan visa dibatalkan atas kesalahan jenayah, termasuk serangan fizikal dan memandu dalam keadaan mabuk.
Setiausaha Negara, Marco Rubio turut secara terbuka mendedahkan tindakan beliau membatalkan visa pelajar yang terlibat dalam protes menentang Israel.
Rubio menggunakan undang-undang era McCarthy, membenarkan AS menyekat kemasukan warga asing yang dianggap bertentangan dengan dasar luar AS, walaupun beberapa sasaran berprofil tinggi berjaya mencabar perintah pengusiran di mahkamah.
Menurut Jabatan Negara, kira-kira 8,000 daripada visa yang dibatalkan adalah milik pelajar.
Pentadbiran Trump juga telah memperketatkan proses tapisan visa, termasuk langkah menyaring hantaran media sosial pelawat.
Pembatalan visa itu merupakan sebahagian daripada kempen lebih luas pengusiran besar-besaran yang dilaksanakan secara agresif menerusi peningkatan ketara penugasan ejen persekutuan.
Pada Disember lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan bahawa pentadbiran Trump telah mengusir lebih 605,000 individu, manakala 2.5 juta yang lain meninggalkan negara itu secara sukarela. -AGENSI










