Artis kecam trend poverty challenge di Seoul 

Artis kecam trend ‘poverty challenge’ di Seoul 

TREND menayangkan kereta mewah bersama mi segera menerima kecaman warganet di Korea Selatan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Warganet termasuk artis Korea Selatan mengecam trend media sosial kontroversi dikenali sebagai ‘poverty challenge’, di mana pengguna berkongsi gambar kereta mewah atau barangan berjenama bersama makanan murah seperti mi segera dengan kata-kata keluhan tentang masalah kemiskinan.

Trend ini bermula sebagai gurauan, tetapi menjadi kontroversi kerana ramai percaya ia memperlekeh kesusahan rakyat.

Antara gambar yang tular ialah mi segera dan kimbap murah diletakkan di sebelah kunci Ferrari, Ferrari merah terang dengan beg mi segera di atas bonet atau bilik penuh karya seni mahal dengan kapsyen ‘Semua yang saya ada hanyalah beberapa lukisan dan seekor anjing’.

Walaupun trend ini menerima kritikan dalam talian, ia mula mendapat perhatian meluas selepas penyanyi dan pelakon, Kim Dong-wan menyuarakan kebimbangan secara terbuka di akaun media sosialnya.

“Kemiskinan bukanlah satu emosi untuk dijadikan bahan lawak. 

“Terdapat perkataan dan gambaran yang tidak sepatutnya digunakan, walaupun sekadar untuk bergurau. Masih terdapat pelajar universiti yang terpaksa berkira-kira untuk membeli sebiji kimbap segitiga kerana kekurangan wang. 

“Saya juga lama hidup bersama ibu saya di sebuah pangsapuri separa bawah tanah. Perkataan ‘kemiskinan’ sentiasa memberi kesan mendalam,” katanya.

Para pengkritik bimbang trend seperti itu mencerminkan penurunan kepekaan sosial terhadap kesusahan ekonomi, selain menonjolkan jurang yang semakin melebar antara golongan mewah dan mereka yang bergelut dengan kesukaran kewangan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN