GAZA: Kira-kira 230 mahasiswa perubatan di Gaza diraikan dalam satu majlis konvokesyen di tengah-tengah serangan genosid Israel yang berlarutan hampir dua tahun.
Majlis graduasi pelajar Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam berlangsung pada 3 Januari lalu di celah runtuhan Hospital Al-Shifa, yang musnah akibat serangan bom Israel.
Para graduan menamakan diri mereka sebagai ‘Phoenix’, simbol kebangkitan, ketahanan dan tekad untuk terus hidup serta berkhidmat walaupun berdepan kemusnahan.
Dalam majlis penuh makna itu, para graduan berikrar untuk menjadi generasi doktor baharu bagi menggantikan lebih 1,722 petugas kesihatan di Gaza yang dibunuh oleh Israel.
Berbeza dengan pelajar perubatan di kebanyakan negara lain, mahasiswa perubatan di Gaza terpaksa mengikuti pengajian dalam keadaan serba kekurangan, termasuk bekalan elektrik dan akses internet yang amat terhad.
Mereka juga sering merawat mangsa serangan Israel ketika masih mengikuti kuliah, susulan kekurangan tenaga kesihatan yang kritikal di wilayah tersebut.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai petugas perubatan turut menjadi mangsa serangan, dengan beberapa graduan turut kehilangan ahli keluarga terdekat, namun tetap cekal sehingga berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh gelaran doktor.
Seorang graduan, Izzedien Lulu berkongsi pengalaman getir yang dihadapi dirinya dan rakan-rakan sepanjang tempoh darurat. Dalam ucapan mewakili graduan, beliau berkata, rutin pengajian mereka berubah sepenuhnya apabila krisis kemanusiaan melanda.
“Kami terperangkap di unit kecemasan. Dengan sebelah tangan kami merawat luka mangsa, manakala tangan yang satu lagi kami gunakan untuk menahan diri agar terus berdiri dan menguatkan semangat,” katanya.
Beliau turut menceritakan detik paling memilukan dalam hidupnya apabila menerima berita kematian serentak 20 ahli keluarganya, termasuk bapanya yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
“Apa yang saya kongsikan ini bukan hanya kisah saya, tetapi kisah ramai graduan lain hari ini. Setiap daripada kami memikul pengalaman kehilangan, kesedihan dan luka yang terpaksa kami simpan demi meneruskan perjalanan.
“Pengalaman ini mengajar kami nilai seorang doktor bukan sekadar terletak pada ilmu pengetahuan, tetapi juga pada kesabaran, ketabahan dan keupayaan untuk terus menjalankan tugas walaupun dunia di sekeliling musnah,” ujarnya.-AGENSI










