Wanita UK mungkin dapat saiz hidangan lebih kecil di restoran

Wanita UK mungkin dapat saiz hidangan lebih kecil di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GLASGOW: Program Obesity Healthcare Goals di bawah kerajaan Britain mencetuskan perdebatan apabila mencadangkan restoran menawarkan saiz hidangan lebih kecil khusus untuk wanita, dengan alasan mereka memerlukan jumlah kalori lebih rendah berbanding lelaki.

Pengerusinya, Prof Naveed Sattar berkata, menu perlu disesuaikan dengan menyediakan versi hidangan yang mengandungi kira-kira 25 peratus kurang makanan, sebagai langkah mengurangkan kadar obesiti.

Beliau berkata, saiz hidangan biasa masih harus ditawarkan kepada semua pelanggan, namun pilihan kedua yang lebih rendah kalori akan lebih sesuai untuk wanita serta lelaki bertubuh lebih rendah.

Cadangan itu turut merangkumi makanan siap bungkus seperti sandwic di pasar raya, hidangan sedia dimakan, piza segera dan bahkan minuman di kedai kopi seperti latte serta kek.

Secara purata, lelaki memerlukan 2,500 kalori sehari manakala wanita memerlukan 2,000 kalori.

Dalam artikel yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Diabetes and Endocrinology, Prof. Sattar dan pasukannya dari Universiti Glasgow dan Hospital Diraja Glasgow mencadangkan premis makanan menawarkan sekurang-kurangnya dua saiz hidangan untuk produk siap makan, dengan perbezaan sekitar 25 peratus bersamaan perbezaan keperluan tenaga antara lelaki dan wanita.

Mereka juga menekankan hidangan kecil perlu dikenakan harga yang bersesuaian.

Katanya, langkah itu turut memberi manfaat kepada individu bertubuh kecil termasuk kanak-kanak, kerana apabila hanya satu saiz hidangan disediakan, wanita, kanak-kanak dan individu lebih rendah mudah mengambil kalori berlebihan berbanding keperluan tubuh mereka.

Dalam jangka masa panjang, keadaan itu boleh meningkatkan risiko penambahan lemak badan, sekali gus menyumbang kepada kadar obesiti yang lebih tinggi dalam kalangan wanita seperti yang dilihat dalam statistik terkini England. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN