Trump umum bantuan AS$12 bilion kepada petani AS

Trump umum bantuan AS$12 bilion kepada petani AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pakej bantuan berjumlah AS$12 bilion (RM49 bilion) bagi membantu golongan petani yang terkesan akibat dasar perdagangan serta tarif yang dilaksanakannya.

Ketika sesi meja bulat bersama pengusaha pertanian di Rumah Putih, beliau berkata, tindakan itu sebagai usaha paling penting untuk melindungi dan mempertahankan petani Amerika.

Sejak Trump kembali memegang jawatan pada Januari lalu, sektor pertanian AS berdepan pelbagai cabaran termasuk tindakan balas negara rakan dagang serta tarif terhadap barangan import yang digunakan dalam sektor pertanian.

Situasi itu menyebabkan petani yang dahulu menjadi penyumbang kemenangan politiknya kini menuntut langkah pemulihan lebih agresif daripada kerajaan.

Trump berkata, bantuan itu akan dibiayai melalui sebahagian kecil hasil kutipan tarif dengn sebahagian besar bantuan tersebut merangkumi pembayaran sekali bayar kepada petani tanaman, khususnya selepas eksport kacang soya AS merudum akibat pertikaian perdagangan dengan China.

Harga kacang soya turut menjunam, memberi tekanan hebat kepada sektor berkenaan meskipun gencatan dagang terbaharu dijangka membuka semula pembelian oleh China.

Trump turut menyatakan keyakinan Presiden China, Xi Jinping, akan ‘melakukan lebih daripada yang dijanjikan’ dalam pembelian kacang soya selepas pertemuan mereka di Korea Selatan baru-baru ini.

Setiausaha Pertanian, Brooke Rollins memberitahu, kerajaan akan melepaskan AS$11 bilion (RM45 bilion) terlebih dahulu bagi membantu tanaman, manakala AS$1 bilion (RM4.11 bilion) lagi disimpan untuk diagihkan kepada sektor yang paling memerlukan.

Trump sebelum ini turut berjanji untuk membantu penternak lembu selepas harga daging meningkat akibat penyusutan bekalan ternakan selain pengurangan import dari Mexico berikutan isu serangan perosak.

Pengumuman bantuan itu dibuat ketika rasa tidak puas hati terhadap dasar ekonomi Trump semakin meningkat, terutamanya berkaitan tarif dan kos sara hidup.

Menjelang siri jelajah ekonomi yang akan dimulakannya di Pennsylvania esok, Trump mengakui wujudnya masalah kemampuan selepas beberapa minggu menafikannya sebagai helah politik pihak Demokrat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN