WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan pengurangan besar-besaran terhadap standard ekonomi bahan api yang dimuktamadkan oleh bekas Presiden, Joe Biden tahun lalu, dalam usaha terbaharu untuk memudahkan pengeluar menjual lebih banyak kenderaan berkuasa petrol.
Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) mencadangkan penurunan ketara keperluan kecekapan bahan api bagi model tahun 2022 hingga 2031, dengan sasaran purata 55.52 kilometer (km) setiap gelen menjelang 2031 turun daripada 81.11 km setiap gelen.
NHTSA turut menyemak semula standard 2022 ke paras lebih rendah dan mencadangkan peningkatan hanya antara 0.25 hingga 0.5 peratus setahun sehingga 2031.
Pada 2022, di bawah pentadbiran Biden, NHTSA menetapkan peningkatan lapan peratus setahun untuk model 2024–2025 dan 10 peratus untuk 2026.
Agensi itu menganggarkan cadangan baharu tersebut dapat mengurangkan kos awal purata kenderaan sebanyak kira-kira AS$900 (RM3,700), namun akan meningkatkan penggunaan bahan api negara secara signifikan.
Pelonggaran standard untuk tahun sebelumnya juga akan memudahkan pengeluar mematuhi peraturan sepanjang tempoh yang masih dalam semakan NHTSA.
Perubahan besar lain termasuk cadangan menghentikan perdagangan kredit antara pengeluar automotif pada 2028, serta menamatkan beberapa kredit ke atas ciri penjimatan bahan api.
Trump dijadualkan hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis dan Ford untuk mempromosikan cadangan tersebut.
Awal tahun ini, Trump menandatangani undang-undang yang menamatkan penalti ekonomi bahan api terhadap pengeluar dan NHTSA mengesahkan mereka tidak lagi berdepan denda bagi model tahun 2022 dan seterusnya.
Penghentian perdagangan kredit dijangka menjejaskan pengeluar EV seperti Tesla dan Rivian, yang memperoleh keuntungan dengan menjual kredit kepada pengeluar kenderaan petrol.
Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, memuji langkah Trump dalam satu kenyataan menjelang acara itu kerana menyelaraskan standard ekonomi bahan api dengan realiti pasaran.
“Kita masih boleh mencapai kemajuan sebenar dalam pengurangan karbon dan kecekapan tenaga sambil memberikan pilihan mengikut kemampuan kepada pengguna,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif GM, Mary Barra pula berkata, sebelum Kongres menyekat peraturan kenderaan sifar karbon di California pada Jun lalu, sektor automotif berdepan keperluan di sesetengah negeri yang menetapkan 35 peratus jualan kenderaan baharu pada 2026 mesti terdiri daripada EV.
“Kami hampir terpaksa menutup kilang kerana kami tidak mampu membina dan menjual kenderaan tersebut,” katanya. -AGENSI











