WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sekali lagi berikrar untuk melancarkan serangan darat terhadap Venezuela dengan menyatakan tindakan itu boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan yang diulanginya sejak pertengahan September itu, Trump secara terbuka memberi bayangan atau secara terang-terangan berjanji akan melancarkan tindakan ketenteraan darat AS sekurang-kurangnya 17 kali, menurut analisis CNN terhadap penampilan awamnya.
Ancaman retorik presiden itu disokong oleh pertunjukan kekuatan ketenteraan yang besar di rantau berkenaan, termasuk kira-kira 15,000 anggota tentera AS dan lebih sedozen kapal perang, selain sekurang-kurangnya 12 serangan terhadap bot yang didakwa terlibat dalam penyeludupan dadah di Caribbean.
Minggu lalu, AS turut merampas sebuah kapal tangki sarat dengan minyak mentah Venezuela di luar pesisir negara itu. Pada Selasa, Trump mengumumkan ‘sekatan menyeluruh dan sepenuhnya’ terhadap kapal tangki minyak yang dikenakan sekatan yang keluar masuk Venezuela, sekali gus meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Caracas.
Pentadbiran Trump menggambarkan serangan ke atas bot sebagai usaha membanteras aliran haram dadah dan migran dari Venezuela. Namun, tindakan itu juga menunjukkan kempen tekanan menyeluruh terhadap Presiden Nicolás Maduro yang penyingkirannya, menurut Ketua Staf Rumah Putih, Susie Wiles, merupakan matlamat sebenar pentadbiran berkenaan.
“Dia mahu terus meletupkan bot sehingga Maduro mengalah. Dan mereka yang jauh lebih bijak daripada saya dalam perkara ini berkata bahawa dia akan berjaya,” kata Wiles mengenai Trump dalam satu temu bual dengan Vanity Fair yang diterbitkan minggu ini.
Trump telah diberi taklimat oleh pasukannya mengenai pelbagai pilihan berkaitan Venezuela, termasuk serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan atau kerajaan utama, laluan penyeludupan dadah atau usaha lebih langsung untuk menyingkirkan Maduro.
Namun, ketika presiden dilihat masih mempertimbangkan keputusan, beliau berulang kali membangkitkan ancaman serangan darat malah menyentuhnya tanpa provokasi dalam acara yang tidak berkaitan.
“Kami sedang memberi amaran kepada kartel sekarang. Kami juga akan menghentikan mereka. Apabila mereka masuk melalui darat, kami akan menghentikan mereka dengan cara yang sama seperti kami menghentikan bot. Dan anda akan melihatnya,” kata Trump pada acara 15 September berkaitan bantuan persekutuan kepada penguat kuasa undang-undang Memphis, beberapa hari selepas serangan ke atas bot bermula.
Dalam ucapan pada 5 Oktober kepada anggota perkhidmatan AS di atas USS Harry S. Truman di Norfolk, Virginia, Trump memberi amaran bahawa mereka tidak akan masuk melalui laut lagi.
“Jadi sekarang kita perlu melihat laluan darat, kerana mereka akan dipaksa menggunakan darat. Itu juga tidak akan berakhir dengan baik untuk mereka,” katanya.










