Tragedi Pantai Bondi: Filipina tolak dakwaan jadi pusat latihan pengganas  - Utusan Malaysia

Tragedi Pantai Bondi: Filipina tolak dakwaan jadi pusat latihan pengganas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina menegaskan tiada bukti negara itu dijadikan sebagai lokasi latihan pengganas susulan tragedi tembakan rambang di Pantai Bondi, Sydney.

“Presiden, Ferdinand Marcos dengan tegas menolak kenyataan menyeluruh dan gambaran mengelirukan yang melabel Filipina sebagai hab latihan ISIS.

“Tiada bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan bahawa negara ini digunakan bagi latihan pengganas.

“Tiada laporan yang disahkan atau pengesahan bahawa individu yang terlibat dalam insiden Pantai Bondi menerima sebarang bentuk latihan di Filipina,” kata jurucakap presiden, Claire Castro, pada sidang media.

Pada Selasa, pejabat imigresen negara itu mengesahkan Sajid Akram dan anaknya, Naveed yang membunuh 15 orang dan mencederakan puluhan yang lain semasa sambutan Hanukkah di Pantai Bondi memasuki Filipina pada 1 November dan menuju ke wilayah selatan Davao.

Pulau Mindanao, yang menempatkan Davao mempunyai sejarah panjang pemberontakan ekstremis menentang pemerintahan kerajaan pusat.

Pihak berkuasa Australia menyiasat sama ada kedua-dua lelaki itu bertemu dengan kumpulan ekstremis semasa lawatan berkenaan.

Bagaimanapun, tentera Filipina pada Rabu berkata kumpulan bersenjata Islam yang masih beroperasi di Mindanao sebahagian besarnya sudah dilemahkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini sejak pengepungan Marawi.

Pertempuran selama lima bulan di bandar itu yang menyaksikan pasukan kerajaan berdepan militan pro-Negara Islam daripada kumpulan Maute dan Abu Sayyaf, meragut lebih 1,000 nyawa serta menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Kami tidak merekodkan sebarang operasi pengganas atau aktiviti latihan berskala besar sejak awal 2024,” kata jurucakap tentera Filipina, Kolonel Francel Padilla, pada sidang media. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN