TAIPEI: Taiwan mengumumkan akan menyekat akses kepada aplikasi media sosial popular dari China, RedNote atau Xiaohongshu, selama setahun susulan kebimbangan meningkat mengenai kes penipuan membeli-belah dalam talian.
Biro Siasatan Jenayah pulau itu pada Khamis berkata, pihaknya mengesan lebih 1,700 kes penipuan melalui aplikasi berkenaan sejak tahun lalu, dengan jumlah kerugian mencecah lebih NT$247 juta (RM32.4 juta), lapor media tempatan.
Aplikasi tersebut, yang mempunyai ciri seperti TikTok dan dilengkapi fungsi membeli-belah, kini diarahkan untuk disekat oleh penyedia perkhidmatan internet Taiwan. Langkah itu dijangka memberi kesan kepada sekurang-kurangnya tiga juta pengguna di negara berkenaan.
Menurut pemeriksaan BBC di Taiwan, platform itu sudah tidak dapat diakses oleh sebahagian pengguna. Paparan menunjukkan mesej aplikasi tersebut ‘tidak tersedia kerana sekatan keselamatan’.
Media Taiwan melaporkan larangan itu dibuat ekoran peningkatan kes penipuan serta kegagalan aplikasi tersebut memenuhi standard keselamatan data, sekali gus meletakkan pengguna dalam risiko.
Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri Taiwan yang dipetik akhbar Taipei Times, pengendali Xiaohongshu tidak mempunyai pejabat tempatan dan masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan pihak berkuasa untuk mengemukakan pelan penambahbaikan langkah keselamatan siber.
Dilancarkan pada 2013, Xiaohongshu kini mempunyai ratusan juta pengguna di seluruh dunia, khususnya di Asia.
Jumlah penggunanya meningkat tahun ini apabila rakyat Amerika Syarikat (AS) mencari alternatif kepada TikTok selepas kerajaan negara itu mengancam untuk mengharamkan platform China tersebut.
Larangan sementara Taiwan ini hadir ketika kebimbangan semakin memuncak mengenai penggunaan media sosial oleh Beijing untuk membentuk pandangan lebih positif terhadap China serta menyebarkan maklumat palsu.
Beijing menganggap Taiwan sebagai sebuah wilayah yang akan kembali berada di bawah kawalan China, dan tidak menolak penggunaan kekerasan bagi mencapai matlamat itu.
Xiaohongshu sebelum ini turut menerima tekanan daripada pengawal selia China, yang pada September lalu menggesa hukuman tegas dikenakan terhadap pengurusan syarikat tersebut berhubung penyiaran kandungan negatif di platform berkenaan.










