GSTAAD: Seorang pemaju hartanah Switzerland merancang membina chalet ski terbesar di dunia di Pergunungan Alps, dengan kadar sewaan tahunan dianggarkan antara 11 juta hingga 13 juta pound (RM60-RM71 juta).
Tokoh hartanah terkenal, Byron Baciocchi membangunkan kompleks mewah seluas 7,000 meter persegi di Gstaad, Switzerland yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028 dan dikenali sebagai Chalet Oberbort.
Chalet berkenaan bakal menampilkan ‘kawasan kesejahteraan’ seluas 1,500 meter persegi lengkap dengan dua kolam terma, bilik wap hammam ala Asia Barat, sauna alpine, pancuran salji serta kolam rendaman sejuk.
Kemudahan hiburan turut disediakan menerusi sayap khas yang menempatkan pawagam persendirian, simulator Formula One, lantai tarian, lorong boling, bilik wain, ruang cerut dan bilik simpanan peralatan ski.
Dibina oleh Unica Capital, firma pelaburan hartanah milik Baciocchi, chalet itu akan mempunyai 11 bilik tidur en suite dengan almari pakaian masuk serta lapan bilik khas untuk kakitangan.
Chalet Oberbort terletak berhampiran kawasan ski Gstaad Mountain Rides dan mempunyai akses mudah ke lapangan terbang persendirian, restoran bertaraf Michelin, butik mewah serta sekolah antarabangsa.
Menurut Baciocchi, pembinaan chalet itu bukan sekadar menyediakan kediaman mewah, sebaliknya bertujuan mewujudkan pengalaman eksklusif yang menggabungkan seni bina, suasana emosi dan keaslian bahan, selari dengan konsep kemewahan sebenar yang menekankan perasaan, bukan sekadar kemudahan.










