Switzerland terbuka laksana larangan media sosial untuk kanak-kanak - Utusan Malaysia

Switzerland terbuka laksana larangan media sosial untuk kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZURICH: Switzerland perlu mengambil langkah lebih tegas bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko media sosial, kata Menteri Dalam Negeri, Elisabeth Baume-Schneider, pada Ahad.

Kenyataan itu sekali gus memberi isyarat beliau terbuka kepada kemungkinan larangan penggunaan platform media sosial oleh golongan muda.

Susulan langkah Australia yang baru-baru ini melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, Baume-Schneider memberitahu akhbar SonntagsBlick bahawa Switzerland wajar meneliti langkah serupa.

“Perbahasan di Australia dan Kesatuan Eropah (EU) adalah penting. Ia juga mesti dibincangkan di Switzerland. Saya terbuka kepada larangan media sosial,” kata beliau, yang juga merupakan ahli Parti Demokrat Sosial berhaluan tengah-kiri.

“Kita mesti melindungi kanak-kanak dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu meneliti aspek yang wajar dihadkan, termasuk pilihan seperti melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak, membendung kandungan berbahaya, serta menangani algoritma yang mengeksploitasi kelemahan golongan muda.

Katanya, perbincangan terperinci mengenai perkara itu akan bermula pada tahun depan disokong oleh satu laporan berkaitan isu berkenaan sambil menambah mereka mesti bertanggungjawab terhadap apa yang diakses oleh kanak-kanak dan remaja.

Larangan yang diperkenalkan di Australia itu menerima pujian daripada ramai ibu bapa serta kumpulan yang memperjuangkan kebajikan kanak-kanak, namun turut mengundang kritikan daripada syarikat teknologi utama dan pihak yang
mempertahankan kebebasan bersuara.

Awal bulan ini, parlimen kanton Fribourg di Switzerland meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak menggunakan telefon bimbit di sekolah sehingga kira-kira umur 15 tahun, merupakan langkah terbaharu di peringkat tempatan untuk mengehadkan penggunaan peranti tersebut di sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×