STOCKHOLM: Sweden akan menamatkan secara berperingkat bantuan pembangunan kepada lima negara dalam beberapa tahun akan datang dan menggunakan dana tersebut untuk meningkatkan sokongan kepada Ukraine, menurut kerajaan pada Jumaat.
Menteri Kerjasama Pembangunan Antarabangsa dan Perdagangan Luar, Benjamin Dousa berkata, negara Nordik itu merancang untuk menghentikan bantuan kepada Zimbabwe, Tanzania, Mozambique, Liberia dan Bolivia.
“Ukraine adalah keutamaan Sweden dalam dasar luar dan bantuan, maka kerajaan akan meningkatkan bantuan kepada Ukraine kepada sekurang-kurangnya 10 bilion krona (RM4.35 bilion) pada 2026.
“Tiada mesin cetak wang rahsia untuk tujuan bantuan, dan dana itu perlu datang dari suatu sumber,” kata Dousa.
Kerajaan menjelaskan langkah tersebut akan membebaskan lebih 2 bilion krona dalam tempoh dua tahun akan datang untuk disalurkan kepada Ukraine, termasuk bagi projek pemulihan semula infrastruktur tenaga negara itu.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2022, Sweden telah pun mengurangkan bantuan kepada lebih 10 negara, termasuk Burkina Faso dan Mali.
Sweden merupakan penyumbang utama dalam bantuan pembangunan dan kemanusiaan, dengan bajet berjumlah 56 bilion krona setahun bagi tiga tahun kebelakangan ini.
Kerajaan berkata, peruntukan itu akan dikurangkan kepada 53 bilion krona setahun bagi tempoh 2026 hingga 2028, selain melakukan penyusunan semula keutamaan perbelanjaan, termasuk menggunakan sebahagian dana tersebut untuk menampung kos imigresen dan penghantaran pulang pendatang.- AGENSI










