AirBorneo bakal operasi jet mulai Julai 2026

AirBorneo bakal operasi jet mulai Julai 2026

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo bakal mengendalikan pesawat bermula Julai 2026 sebagai sebahagian perancangan negeri dalam memperkukuh rangkaian hubungan udara.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat penerbangan itu akan memulakan operasi awal Januari depan menggunakan pesawat turboprop sebelum beralih kepada perkhidmatan jet.

“Pada Julai kita akan memulakan operasi jet. Usaha tersebut akan meningkatkan daya saing Sarawak dalam sektor penerbangan serantau.

“Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ketika saya temui pada Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 Khamis lalu turut mengalu-alukan rancangan Sarawak untuk mewujudkan penerbangan langsung antara kedua-dua destinasi.

“Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut hadir dalam pertemuan itu juga memberi lampu hijau kepada AirBorneo bagi cadangan berkenaan,” katanya ketika majlis makan malam korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2025, malam tadi.

Abang Johari berkata, Sarawak juga berhasrat untuk berkembang setanding Singapura dengan mencadangkan perkhidmatan ke Pulau Jeju, Korea Selatan, sebuah lokasi UNESCO Geopark Global sekali gus menghubungkannya dengan Sarawak Delta Geopark yang turut mendapat status sama pada September lalu.

Katanya, operasi AirBorneo akan melengkapkan usaha SEDC yang terlibat dalam pembangunan hospitaliti, infrastruktur dan pelancongan Sarawak sepanjang lima dekad lalu.

“SEDC mesti terus berkembang dengan menerima guna inovasi dan teknologi untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan Sarawak. SEDC memerlukan pemikiran kritis, pemikiran strategik dan pemikiran di luar kebiasaan.

“Kita perlu membangunkan modal insan kita, memadankan modal insan ini dengan modal semula jadi kita dan mengubah ekonomi kita menjadi ekonomi yang sangat kompetitif di rantau ini,” katanya.

Abang Johari turut berkongsi aspirasinya untuk menyaksikan SEDC menerajui aktiviti ekonomi baharu yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.

Katanya, SEDC berada pada kedudukan baik untuk mengambil bahagian dalam industri pesat yang sedang berkembang di negeri ini khususnya tenaga boleh baharu, bahan api berasaskan alga dan usaha lain yang dipacu teknologi.

“Perbadanan itu boleh menerajui pembangunan alga sebagai bahan api hijau baharu untuk Sarawak.

“Mudah-mudahan usaha tersebut menjadi kenyataan dan dengan itu masa depan kita cerah serta ekonomi dirancang dengan baik demi masa depan warga kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN