SEPANG: AirBorneo hari ini melakar sejarah tersendiri menerusi pelancaran penerbangan sulungnya bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur, sekali gus menandakan bermulanya fasa pertumbuhan baharu syarikat penerbangan berkenaan.
Pengerusi AirBorneo, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penerbangan sulung antara Kuching dan Kuala Lumpur itu merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja buat AirBorneo, malah untuk Sarawak.
“Ia mencerminkan komitmen kami dalam memperkukuh jaringan perhubungan, meluaskan peluang perniagaan serta menyokong aspirasi ekonomi jangka panjang Sarawak.
“Sektor penerbangan amat penting bagi masa depan Sarawak. Ia merupakan talian hayat ekonomi yang menghubungkan masyarakat, menyokong perniagaan dan membuka peluang kepada rakyat kita,” katanya.
Terdahulu, penerbangan MY5005 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pukul 1 tengah hari yang turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan Menteri Kabinet Sarawak serta tetamu-tetamu kehormat lain.
Ketibaan penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kemudiannya disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Mohd. Aminuddin pula menyifatkan pelancaran tersebut sebagai langkah awal syarikat dalam memulakan fasa pertumbuhan yang seterusnya.
“Keutamaan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan berkualiti tinggi, di samping terus meningkatkan pengalaman perjalanan para penumpang.
“Kami amat menghargai sokongan dan keyakinan yang diberikan oleh pelanggan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan dalam bersama-sama membina masa depan AirBorneo,” jelasnya.
Bermula esok, AirBorneo akan mengendalikan jadual penerbangan dua kali sehari bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur.
Tiket bagi laluan tersebut kini sudah mula dijual pada harga RM375 bagi Kelas Ekonomi, manakala Kelas Perniagaan ditawarkan bermula daripada RM736 untuk perjalanan sehala.
Laluan Kuching-Kuala Lumpur ini merupakan titik permulaan kepada pelan peluasan rangkaian domestik AirBorneo, sebelum syarikat penerbangan itu melebarkan sayapnya ke destinasi antarabangsa pertama, Singapura, secara berperingkat tidak lama lagi. – UTUSAN










